BUTTERWORTH - Kejadian lubang benam di Jalan Bagan Lalang di sini pada 26 Februari lalu dikenal pasti berpunca daripada kerosakan paip pembetungan di jajaran berkenaan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, hasil siasatan terperinci menggunakan kaedah kamera litar tertutup (CCTV) oleh Indah Water Konsortium (IWK) mendapati berlaku kerosakan pada paip pembetungan di lokasi tersebut.
Zairil berkata, beliau telah turun ke tapak kejadian bagi meninjau keadaan semasa serta menerima taklimat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze.
“Buat masa ini, pihak IWK akan melaksanakan kerja korekan segera bagi mengenal pasti tahap kerosakan paip berkenaan.
“Tempoh kerja pengenalpastian dan pembaikan dijangka mengambil masa kira-kira tiga minggu memandangkan Jalan Bagan Lalang merupakan laluan utama penduduk setempat dan kerja-kerja hanya dibenarkan dilaksanakan pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menambah, sepanjang tempoh pembaikan itu, penutupan sebahagian jalan akan dilakukan pada waktu malam dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di tapak serta penempatan flagman bagi melancarkan aliran trafik.
Sehubungan itu, orang awam yang melalui kawasan berkenaan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada.
Dalam pada itu, Zairil berkata, bagi langkah mitigasi jangka panjang, Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Mak Mandin serta Pembinaan Rangkaian Paip Pembetungan dalam kawasan tadahan Butterworth North telah dimulakan menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya, projek bernilai RM650 juta itu melibatkan pembinaan jajaran paip pembetungan baharu bagi menggantikan jajaran sedia ada yang akan dihentikan penggunaannya.
“Projek ini telah bermula pada 25 Jun 2024 bagi kerja-kerja awalan dan pembinaan fizikal dijangka bermula April 2026 hingga 24 Jun 2029,” ujarnya.