Tiada lagi rawatan, ibu hanya mahu tunaikan impian anak ke Langkawi

Iklan
Nur Umairah (tengah) ketika had it pada program bersama pesakit kanser anjuran Cancer Survivors Malaysia di Alor Setar baru-baru ini.

ALOR SETAR – Seorang ibu tabah menerima hakikat tiada lagi rawatan sesuai untuk anaknya yang menghidap kanser otak tahap empat, namun tetap berazam menunaikan impian si kecil untuk bercuti ke Pulau Langkawi.

Noor Shahirah Mohd Fuzi, 30, berkata, anak sulungnya, Nur Umairah Abdul Rahman, 12, disahkan menghidap kanser otak jenis medulloblastoma sejak tahun 2020 selepas mengalami simptom kerap terjatuh dan muntah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Umairah yang dilahirkan normal dan membesar seperti kanak-kanak lain sebelum itu mula menunjukkan perubahan apabila menghadapi kesukaran berjalan.

“Ketumbuhan itu berada di bahagian belakang kepala. Pada awalnya dia ada masalah untuk berjalan. Jalan sikit saja dia akan jatuh dan muntah. Keadaan itu berlarutan sebelum saya membawanya ke klinik dan kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah.

Iklan

“Selepas menjalani ujian imbasan, doktor mengesahkan dia menghidap kanser otak tahap empat. Sejak itu hidup kami berubah sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada program bersama pesakit kanser anjuran Cancer Survivors Malaysia di sini baru-baru ini.

Noor Shahirah berkata, keadaan Umairah kini semakin lemah dan hanya mampu bergerak menggunakan kereta sorong kanak-kanak, namun masih boleh bertutur dengan baik.

Iklan

Katanya, anaknya itu hanya sempat bersekolah di prasekolah ketika berusia enam tahun sebelum disahkan menghidap penyakit berkenaan.

“Sampai hari ini dia masih teringin hendak ke sekolah seperti kanak-kanak lain,” ujarnya.

Menurutnya, beliau tidak bekerja kerana memberi sepenuh perhatian menjaga Umairah serta seorang lagi anak berusia lapan tahun, manakala suaminya yang juga bapa tiri Umairah bekerja sebagai pesawah dengan pendapatan tidak menentu.

Keadaan itu menyebabkan mereka berdepan kesukaran kewangan terutama untuk menampung kos perjalanan berulang-alik ke hospital bagi pemeriksaan dan rawatan susulan.

Walaupun dimaklumkan tiada lagi rawatan sesuai dapat diberikan, Noor Shahirah tetap menyimpan harapan untuk menunaikan impian kecil anaknya.

“Dia pernah beritahu teringin sangat nak bercuti ke Pulau Langkawi. Buat masa ini saya memang tak mampu, tapi kalau ada rezeki saya nak tunaikan juga impian dia.

“Selagi dia masih ada, saya akan cuba buat yang terbaik untuk dia,” katanya.