Penuntut IPTA mengaku tidak bersalah cemar al-Quran, hantar komunikasi jelik

Iklan
Suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira jam 8.50 pagi.

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Seorang penuntut lelaki dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa atas dua pertuduhan berkaitan mencemar al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik yang melampau menerusi media sosial baru-baru ini.

Tertuduh, K. Vikneswaran, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Iklan
Iklan

Dia didakwa telah mencemarkan satu kitab suci yang dipegang oleh penganut agama Islam, iaitu sebuah al-Quran, dengan niat hendak mengaibkan agama Islam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Iklan

Berdasarkan pertuduhan kedua, Vikneswaran didakwa melalui aplikasi Threads dengan menggunakan akaun Threads ‘Ryandaselva’ secara sedar membuat dan menghantar komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Penuntut tahun akhir Fakulti Komputer itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta yang sama.

Iklan

Hukuman yang diperuntukkan ialah denda tidak melebihi RM500,000 atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, dan boleh juga dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di rumahnya di Taman Seri Mahkota Aman, Jalan Gambang, pada jam 1.30 petang, 22 Februari lalu.

Dalam prosiding itu, Pengarah Pendakwaan Pahang, Sharizat Ismail menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius dan boleh mengundang kegusaran orang awam.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Amirul Afiaq Mohamad Lokman memohon agar mahkamah mempertimbangkan pengurangan jumlah jaminan atas alasan tertuduh masih ditanggung bapanya.

Dalam hujahan rayuan itu, beliau berkata, bapa tertuduh bekerja sebagai penternak ikan dengan pendapatan sekitar RM5,000 sebulan.

Menurutnya, jumlah jaminan yang tinggi akan membebankan keluarga tertuduh memandangkan bapanya turut menanggung perbelanjaan isi rumah yang lain.

“Tertuduh tidak mempunyai niat untuk melarikan diri kerana ayahnya sendiri yang membuat laporan polis.

“Sepanjang tempoh reman, mereka sentiasa memberikan kerjasama dan tertuduh juga pernah dirujuk ke sebuah klinik ketika masih bersekolah tingkatan tiga kerana mengalami gangguan psikologi,” hujahnya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Jaya Gading pada setiap awal bulan.

Kes disebut semula pada 8 April depan.

Sebelum itu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.05 pagi dengan dikawal ketat oleh anggota polis.

Memakai kemeja-T berwarna merah berlengan putih, dia dilihat hanya menundukkan wajah bagi mengelak lensa kamera pengamal media yang telah berkumpul di lobi mahkamah sejak awal pagi.

Pada 25 Februari lalu, seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di laman sosial.