MELAKA - Pemuda kampung di Persiaran Balik Buluh, Klebang dengan kerjasama kariah Surau Sementara Madrasah Ad Dinniah meneruskan tradisi bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa untuk diedarkan kepada penduduk setempat sepanjang Ramadan.
Pendekatan tersebut mencipta kelainan sepanjang Ramadan apabila tidak hanya tertumpu kepada penyediaan bubur lambuk seperti kebiasaan, sebaliknya menawarkan pelbagai menu kepada penerima.
Wakil penganjur, Muhammad Razaaq Ridzuan berkata, usaha murni berkenaan digerakkan oleh anak muda kampung yang setiap tahun berusaha mencari dana bagi memastikan program sumbangan makanan dapat diteruskan.
“Tahun lalu kami menyediakan juadah asam pedas dan masak lemak untuk diagihkan kepada penduduk.
“Tahun ini kami tampil dengan kelainan apabila menyediakan nasi ayam bersama buah tembikai serta air tembikai segar,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata, program gotong-royong itu membabitkan hampir 50 sukarelawan yang akan terlibat menyediakan juadah berbuka setiap minggu sepanjang Ramadan sebelum diedarkan ke 130 rumah penduduk.
“Aktiviti ini memperlihatkan kerjasama erat dalam kalangan pemuda kampung yang sentiasa mendapat sokongan masyarakat setempat atas komitmen mereka menjayakan pelbagai program kebajikan.
“Perpaduan masyarakat di Persiaran Balik Buluh membuktikan semangat ukhuwah antara belia dan penduduk mampu melahirkan komuniti yang harmoni serta saling menyokong,” katanya.