SHAH ALAM - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tampil menafikan dakwaan kononnya beliau antara ahli Parlimen yang tidak menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa beliau bersama wakil rakyat yang lain mengundi dan menyokong usul tersebut.
"Bukan saya! Saya dan rakan-rakan mengundi menyokong tadi.
"Yang kami mahu, RUU dipinda yang satu lagi supaya pendakwa raya yang sangat berkuasa dikawal selia oleh Parlimen juga," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
RUU yang dimaksudkan ialah pindaan Perlembagaan bagi mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya yang dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Rafizi bersama sembilan lagi ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat minggu lalu meminta kerajaan supaya meneliti RUU itu dengan lebih terperinci.
Beliau berpendapat RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 itu tidak patut dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana ia berpotensi membawa implikasi meluas.
Jelasnya lagi, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu mendapatkan maklum balas dan input merentas parti daripada ahli Parlimen untuk memperhalusi pindaan Perlembagaan yang dicadangkan itu.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan orang ramai termasuk Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mengatakan terdapat beberapa ahli Parlimen kerajaan tidak hadir, bahkan enggan menyokong usul had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun di Dewan Rakyat.