Iran serang 6 pangkalan tentera AS di Teluk

Iklan
Serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera laut AS di Bahrain ketika lekacauan mencengkam di Asia Barat - Foto: Agensi

ISTANBUL - Iran telah menyasarkan sekurang-kurangnya enam pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di seluruh Asia Barat sejak Washington dan Tel Aviv mula menyerang Iran pada Sabtu, menurut analisis oleh The New York Times yang menggunakan imej satelit, video yang disahkan dan kenyataan daripada pegawai tentera AS, Anadolu Ajansi (AA) melaporkan.

Jumlah senjata yang dilepaskan Iran atau bilangan yang berjaya dipintas masih belum dipastikan namun serangan itu telah mencetuskan kebimbangan mengenai keupayaan fasiliti terbabit bertahan daripada serangan tambahan.

Iklan
Iklan

Pangkalan di Bahrain, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta tiga lokasi di Kuwait, telah diserang pada hujung minggu. Beberapa bangunan rosak atau musnah, termasuk sistem komunikasi satelit.

Pegawai AS melaporkan tiga anggota terbunuh dan lima cedera parah dalam serangan di Kem Arifjan di Kuwait meskipun tidak terdapat gambar atau visual serangan berkenaan.

Iklan

Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan di lima lokasi lain yang dikenal pasti.

Antara lokasi terjejas ialah ibu pejabat tentera laut utama, kem tentera AS, pangkalan udara menempatkan tentera Amerika dan kemudahan rekreasi tentera laut. Tahap kerosakan adalah berbeza mengikut lokasi.

Iklan

Pada Sabtu, Iran menyerang ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Manama, Bahrain, menyebabkan kemusnahan ketara pada beberapa struktur.

Video yang disahkan menunjukkan pangkalan itu disasarkan oleh peluru berpandu dan dron, dan pelabuhan itu kelihatannya tidak mempunyai kapal tentera laut semasa serangan.

Imej satelit pada Ahad menunjukkan dua terminal komunikasi satelit musnah dan beberapa bangunan besar di ibu pejabat itu sama ada rosak teruk atau runtuh.

Di Kuwait, imej yang diambil pada petang Ahad mendedahkan bumbung runtuh di beberapa tempat dalam Pangkalan Udara Ali Al Salem, selepas serangan Iran dilaporkan pada hari sebelumnya.

Rakaman dan gambar yang disahkan oleh The Times menunjukkan bahawa Iran berulang kali menyasarkan struktur ketenteraan di Lapangan Terbang Antarabangsa Erbil di Iraq iaitu lokasi tentera AS ditempatkan, sepanjang Sabtu dan Ahad.

Asap dan api kelihatan menjulang dari kawasan tersebut. Menjelang pagi Ahad, imej satelit menunjukkan empat struktur di satu bahagian pangkalan itu telah rosak atau musnah, dengan api masih marak hingga awal Isnin.

Sementara itu, imej satelit Pelabuhan Jebel Ali di Dubai pada Ahad menunjukkan asap berkepul dari bangunan besar dalam zon rekreasi Tentera Laut AS yang berpagar.

Walaupun bukan pangkalan rasmi AS, Jebel Ali adalah antara pelabuhan yang paling kerap digunakan oleh tentera laut AS.

Video tular yang dirakam di dalam Kem Buehring di Kuwait pada Ahad menunjukkan sebuah dron terbang di atas struktur sebelum meneroka kawasan itu.

Titik hentaman yang tepat dan tahap kerosakan masih belum disahkan. - Bernama