Polis tahan enam individu kes tetak di pusat beli-belah

Iklan
Azizee

GEORGE TOWN – Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang lelaki tempatan yang cedera parah dipercayai ditetak di sebuah pusat beli-belah di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan dibuat sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hasil maklumat dan risikan dijalankan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 23 hingga 38 tahun.

“Tangkapan dibuat di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang dan Perak.

Iklan

"Kesemua individu dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan beberapa unit telefon bimbit dalam operasi berkenaan.

Iklan

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah. Bagaimanapun, semakan rekod mendapati keenam-enam individu terbabit mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan atau menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Muhaimin di talian 04-2181822,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 33 tahun cedera parah selepas diserang dan ditetak seorang lelaki di hadapan pintu masuk bilik pameran Hyundai, Gurney Paragon Mall, Jalan Kelawai di sini sebelum melarikan diri menaiki motosikal.