LAHAD DATU - Seorang penunggang motosikal yang dipercayai sedang berehat di tepi jalan maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lahad Datu Bypass, Flyover Batu 6 di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa, Hapipie Yusof, 42, yang juga Pembantu Pembedahan Pergigian di sebuah klinik pergigian di sini, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dipandu lelaki berusia 34 tahun bersama tiga penumpang, manakala mangsa menaiki motosikal jenis Honda.
"Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu. Sebaik tiba di lokasi, terdapat sebuah motosikal berada di bahu jalan sebelah kiri dan mangsa dipercayai sedang berehat di atas motosikal berkenaan.
"Kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu serta tiga penumpang kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau boleh terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu," katanya.