[VIDEO] Pengawal keselamatan mengaku bersalah amang seksual, rogol dan liwat anak usia 6 tahun

Iklan

JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 13 pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap anak perempuannya berusia enam tahun pada Januari dan Februari lalu.

Tertuduh berusia 43 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya bersama kekasih yang juga anak tidak sah taraf berusia enam tahun antara 22 Januari hingga 17 Februari.

Seterusnya, tertuduh berdepan empat lagi pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara melakukan hubungan seksual di hadapan mangsa antara 23 Januari hingga 16 Februari.

Iklan

Lelaki itu turut dituduh dengan dua pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa pada 16 dan 17 Februari.

Tertuduh juga berdepan dua pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak ke atas mangsa tanpa kerelaannya pada 22 Januari dan 23 Februari serta satu pertuduhan rogol pada 17 Februari.

Iklan

Bagi kesalahan amang seksual fizikal, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017, manakala bagi kes amang seksual bukan fizikal, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(c) akta yang sama.

Selain itu, perbuatan persetubuhan luar tabii merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun serta sebatan.

Penghasilan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk video pula didakwa di bawah Seksyen 5 AKSTKK 2017 dan kes rogol kanak-kanak didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah setinggan berhampiran Kampung Kempas Baru di sini antara jam 11.35 malam, 22 Januari lalu hingga waktu pagi, 17 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin dan S Manushri yang tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan semua pertuduhan tidak boleh dijamin.

Tertuduh (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.

Mahkamah menetapkan 4 Mac ini untuk sebutan semula bagi fakta serta hukuman dan tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, kekasih tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa kanak-kanak itu didakwa mendedahkan kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Bagi perbuatan yang dilakukan di lokasi sama sekitar Februari lalu itu, tertuduh wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afdhallan Syafiq Azmy dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 2 April depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.