ISTANBUL - Dua dron milik Iran menyasarkan sebuah gudang di Pangkalan Tentera Laut Al-Salam di Abu Dhabi pada Ahad, sehingga mencetuskan kebakaran namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, menurut Kementerian Pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X, kementerian itu memaklumkan bahawa pasukan pakar telah dikerahkan untuk menangani insiden berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.
Serangan itu menyebabkan kebakaran pada dua buah kontena yang menyimpan bahan am, menurut kenyataan itu.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, yang mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Iran termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei. Teheran membalas dengan siri serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, aset AS, serta beberapa negara Teluk.
Israel dan AS pernah melancarkan serangan serupa ke atas Iran pada Jun lepas, yang mencetuskan peperangan selama 12 hari sebelum gencatan senjata diumumkan. - Bernama