Asia Barat bergegar, ekonomi Malaysia teruji

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.

PERANG tiga penjuru melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) bukan sekadar isu serantau.

Setiap kali Asia Barat bergolak, pasaran global turut bergegar. Malaysia, walaupun jauh dari medan konflik, sebenarnya tidak kebal daripada tempiasnya.

Iklan
Iklan

Iran merupakan antara pengeluar utama minyak dunia. Laluan strategik seperti Selat Hormuz pula menjadi nadi kepada sebahagian besar perdagangan minyak global.

Apabila ketegangan meningkat, pasaran lazimnya bertindak balas pantas. Harga minyak mentah melonjak berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan.

Iklan

Kenaikan itu bukan bersifat teori, sebaliknya memberi kesan langsung kepada rantaian ekonomi dunia.

Bagi Malaysia, kesan tersebut boleh hadir dalam dua bentuk. Sebagai negara pengeluar minyak, terdapat potensi peningkatan hasil sekiranya harga kekal tinggi.

Iklan

Namun dalam masa yang sama, Malaysia juga ialah negara perdagangan terbuka yang bergantung kepada import makanan, bahan mentah dan barangan perantaraan. Apabila kos pengangkutan dan logistik meningkat, tekanan harga akan dirasai pengguna.

Inflasi yang sebelum ini menunjukkan tanda penstabilan berisiko meningkat semula sekiranya konflik berpanjangan.

Harga petrol, kos pengeluaran industri, tambang penerbangan serta harga barang keperluan harian boleh menerima tempias.

Dalam keadaan ekonomi global yang belum benar- benar pulih daripada ketidaktentuan sebelum ini, sebarang kejutan luaran perlu diurus dengan cermat.

Diharapkan negara bersiap siaga dari semua sudut. Dasar fiskal dan mata wang mesti cukup anjal untuk menyerap tekanan luar.

Rakyat pula tidak boleh dibiarkan menanggung beban kos sara hidup yang meningkat tanpa sokongan bersasar.

Apabila dunia bergolak, yang paling penting ialah kebijaksanaan mengurus risiko.

Malaysia mungkin tidak berada di barisan hadapan peperangan, tetapi kesannya tetap boleh dirasai di meja makan rakyat.

Semoga dunia aman, khususnya doa buat rakyat yang terkesan di Asia Barat.