Realiti mualaf, ibu bapa tak layak warisi harta?

Iklan
Harta yang tidak dirancang bukan sahaja boleh membeku di pejabat pusaka atau Amanah Raya, malah boleh mencetus konflik, menimbulkan salah faham, dan merenggangkan ikatan kekeluargaan. Foto hiasan

SOALAN: Saya seorang mualaf yang baru memeluk Islam tahun lepas. Dalam keluarga saya, hanya saya seorang sahaja yang beragama Islam. Saya masih bujang dan menanggung ibu serta bapa saya. Namun saya dimaklumkan bahawa harta orang Islam tidak boleh diwarisi oleh orang bukan Islam. Betulkah jika saya meninggal dunia, ibu dan bapa saya tidak layak mewarisi harta pusaka saya?

JAWAPAN: Menjadi seorang mualaf bukanlah satu perkara yang mudah. Ia menuntut komitmen dalam ibadah, akidah dan tanggungjawab sosial. Definisi mualaf adalah seseorang yang sebelum ini bukan beragama Islam, tetapi memeluk Islam dengan kesedaran sendiri.

Iklan
Iklan

Dilema yang sering menghimpit golongan mualaf yang merupakan satu-satunya Muslim dalam ahli keluarga mereka adalah berkaitan isu pewarisan harta pusaka serta solusi terbaik dalam perancangan harta bagi menjamin kebajikan waris-waris yang bukan beragama Islam, khususnya ibu dan bapa mereka.

Pewarisan harta pusaka bagi golongan mualaf adalah tertakluk kepada hukum faraid yang menetapkan bahawa harta orang Islam yang meninggal dunia tidak boleh diwariskan kepada orang bukan islam.

Iklan

Berdasarkan hukum ini, perbezaan agama sememangnya menjadi halangan utama dalan pewarisan pusaka. Prinsip ini adalah berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, menyatakan bahawa seorang Muslim tidak mewarisi harta orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi harta seorang Muslim.

Memandangkan ibu dan bapa serta adik beradik mualaf ini bukan beragama Islam, maka secara automatik mereka tidak layak untuk menuntut atau mewarisi sebarang harta pusaka milik si mati.

Iklan

Tuntutan pusaka ini hanya boleh dibuat oleh waris-waris yang beragama Islam sewaktu kematian mualaf tersebut. Kenyataan ini amat perit untuk ditelan dan sering menimbulkan konflik yang serius serta kegusaran dalam kalangan ahli keluarga.

Bagaimana mungkin hubungan kasih sayang di antara ibu, bapa dan anak serta adik beradik kandung tidak dapat dizahirkan dalam bentuk material setelah kematian mereka.

Islam tidak memutuskan hubungan kekeluargaan, tetapi menetapkan kaedah pembahagian harta pusaka yang berbeza atas dasar prinsip syariah. Meskipun hukum faraid bersifat teknikal dari aspek pembahagian harta, namun ia tidak membataskan tanggungjawab moral atau kasih sayang terhadap ibu bapa.

Sewaktu masih hidup, seseorang Muslim tetap wajib berbuat baik, menjaga kebajikan dan membantu ibu bapanya tanpa mengira agama. Walaupun Islam menghalang pewarisan pusaka orang Islam kepada orang bukan Islam, namun Islam telah menyediakan solusi menerusi perancangan harta yang melibatkan instrumen seperti pelantikan wasi (pentadbir harta), penulisan wasiat kepada bukan waris (tertakluk kepada had tertentu) dan membuat hibah atau hadiah (pemberian semasa hidup) bagi menzahirkan kasih sayang dalam bentuk material.

Pelantikan wasi atau pentadbir merujuk kepada penamaan individu atau institusi yang diberi tanggungjawab untuk mengurus, mentadbir, dan menyelesaikan urusan harta pusaka seseorang selepas kematiannya.

Pelantikan wasi ini dapat menjamin pengurusan harta pusaka dibuat dengan teratur dalam jangka masa yang singkat tanpa melibatkan kos yang tinggi. Bagi golongan mualaf, pelantikan wasi amat penting kerana wasi yang dilantik bertanggungjawab untuk menguruskan pembahagian harta pusaka si mati mengikut ketetapan hukum syarak bagi mengelakkan pertikaian dalam kalangan ahli keluarga yang berlainan agama disamping memberikan ketenanganserta keharmonian kepada waris yang berhak.

Dalam Islam, wasiat bermaksud pesanan atau perintah yang memberi amanah kepada seseorang untuk menyerahkan sebahagian daripada harta atau memenuhi hasrat tertentu selepas kematiannya. Pemberian harta secara wasiat mempunyai had yang tidak boleh melebihi satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan jumlah harta.

Wasiat 1/3 membolehkan seseorang mewasiatkan sehingga satu pertiga daripada harta miliknya kepada individu atau pihak pilihan, tanpa menjejaskan hak waris yang lain. Baki dua pertiga harta akan dibahagikan mengikut hukum faraid.

Bagi golongan mualaf, penulisan wasiat 1/3 amat penting kerana ia membolehkan mereka menyalurkan sebahagian harta kepada ibu bapa, ahli keluarga bukan Islam atau pihak yang disayangi, selaras dengan tanggungjawab dan kasih sayang semasa hidup. Langkah ini turut membantu mengelakkan pertikaian dan memberi kepastian kepada waris yang berhak.

Hibah pula merujuk kepada pemberian harta secara sukarela oleh seseorang kepada pihak lain ketika masih hidup tanpa sebarang balasan. Pemberian hibah ini boleh dibuatkan kepada sesiapa sahaja termasuk ibu dan bapa yang berlainan beragama tanpa sebarang had dengan syarat ia dibuat semasa hayat pemilik dan mematuhi rukun hibah.

Harta yang dihibahkan tidak tertakluk kepada hukum faraid kerana harta ini bukan lagi pusaka si mati. Dalam konteks ini, hibah sering menjadi solusi terbaik untuk menzahirkan tanggungjawab dan kasih sayang kepada ahli keluarga yang berlainan agama semasa hayat pemberi.

Dengan dokumentasi yang sah, hibah bukan sahaja mengelakkan harta daripada terbeku, malah ianya menjamin kebajikan ibu bapa kandung mualaf sekaligus mengelakkan sebarang konflik atau salah faham selepas kematian.

Bagi mualaf, pengurusan pusaka merupakan satu cabaran yang sangat kompleks kerana melibatkan waris-waris yang berlainan agama. Dengan adanya dokumen perwarisan lengkap yang mengandungi lantikan pentadbir yang sah, penulisan wasiat serta pemberian hibah yang patuh syariah, seorang anak yang juga mualaf ini masih mampu menabur bakti dengan membuat perancangan harta dan memastikan ibu bapanya menerima manfaat yang sewajarnya.

Ini bukan sekadar soal harta, tetapi ini soal menunaikan tanggungjawab, menzahirkan kasih sayang dan meninggalkan legasi dan keturunan yang baik. Siapakah yang berhak mewarisi harta bukanlah isu sebenar, tetapi sejauh mana umat Islam, khususnya golongan mualaf, bersedia untuk merancang dengan mendalami ilmu perwarisan dengan penuh bijaksana.

Harta yang tidak dirancang bukan sahaja boleh membeku di pejabat pusaka atau Amanah Raya, malah boleh mencetus konflik, menimbulkan salah faham, dan merenggangkan ikatan kekeluargaan.

Tanpa pelantikan pentadbir, penulisan wasiat, hibah, atau perancangan amanah, semua harta pusaka mualaf yang sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk kebajikan ibu bapa bukan Islam akan diserahkan kepada Baitulmal atau waris Muslim yang lain jika ada.

Hikmah di sebalik hukum ini ialah untuk melindungi hak waris Muslim yang sah, mengajar umat Islam tentang keadilan dalam pembahagian harta, dan membuka ruang untuk perancangan bijak agar kebajikan bukan waris tetap terjamin.

Perancangan harta bukan untuk orang kaya semata-mata. Ia penting untuk sesiapa sahaja yang memiliki rumah, simpanan, kenderaan atau akaun bank. Tanpa perancangan dan dokumen perwarisan yang lengkap, waris terpaksa melalui proses urus pusaka yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi, selain risiko harta beku yang boleh menimbulkan konflik keluarga.

Natijahnya, Islam tidak pernah menutup ruang kasih sayang antara mualaf dan ahli keluarga yang berlainan agama. Sebagai seorang saudara baharu, memahami hukum faraid ilmu perwarisan merupakan ibadah dan langkah bijak bagi membuktikan keikhlasan serta kasih sayang dan tanggungjawab menjaga kebajikan ibu bapa walaupun sudah meninggal dunia.

Perancangan harta bukan lagi satu pilihan, tetapi ia adalah tanggungjawab yang dituntut dan merupakan solusi terbaik bagi memastikan kasih sayang itu diteruskan dengan penuh berhikmah.

Dengan perancangan yang tepat, seorang mualaf dapat meninggalkan dunia dengan hati yang tenang, memastikan harta tidak terbeku, dan kasih sayang terus mengalir walaupun berbeza agama.

Tindakan melantik pentadbir, menyediakan wasiat dan membuat dokumen hibah menjadi bukti kasih sayang yang diterjemahkan melalui tindakan nyata.

*Dr Noraini Ismail ialah Pengasas Pennawaris Sdn Bhd