Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan susulan perkembangan keselamatan di Oman - Wisma Putra

Iklan
Kementerian Luar memantau keselamatan yang tidak menentu di Asia Barat.

KUALA LUMPUR - Setakat ini, tiada laporan diterima mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terkesan oleh perkembangan keselamatan di Oman, menurut kenyataan media Kementerian Luar pada Ahad.

Kementerian Luar juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa proses pengesahan dan penilaian lanjut sedang dijalankan.

Iklan
Iklan

"Kementerian terus memantau perkembangan ini dengan teliti. Kami mengambil maklum mengenai laporan perkembangan keselamatan di Kesultanan Oman,” menurut makluman itu.

Media melaporkan bahawa Oman mencatatkan serangan pertama ke atas wilayahnya pada Ahad.

Iklan

Menurut kenyataan itu, Kementerian Luar terus memantau rapi persekitaran keselamatan yang tidak menentu dan sedang berkembang di seluruh Asia Barat, serta mengekalkan penglibatan terselaras dengan semua Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan.

Sejak kemas kini terdahulu, penutupan ruang udara yang lebih luas, lencongan penerbangan, dan langkah keselamatan berjaga-jaga yang dipertingkatkan telah menjejaskan negara lain termasuk Iran, Iraq, Kuwait, Lubnan, dan Oman, katanya.

Iklan

Tempoh berkabung awam, gangguan internet sementara, dan langkah keselamatan di lokasi tertentu telah menyumbang kepada kekangan perjalanan dan komunikasi yang berterusan, menurut kenyataan itu lagi.

"Perwakilan kami sedang menghulurkan bantuan konsul dan kekal berhubung dengan rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa lokasi, termasuk Arab Saudi, United Kingdom, Syria, Jordan, Iraq, Kuwait, Lubnan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, dan Oman.

"Perlindungan sementara, sokongan nasihat perjalanan, dan pengaturan alternatif sedang dipermudahkan di mana perlu. Semua individu yang dihubungi kekal selamat dan telah dikenal pasti keberadaan mereka,” katanya.

Terdahulu pada Ahad, kementerian telah mengeluarkan Nasihat Perjalanan rasmi bagi rakyat Malaysia di tujuh negara iaitu Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain, dan UAE, yang menasihatkan rakyat Malaysia untuk mengelakkan perjalanan tidak penting ke negara-negara berkenaan sehingga diberitahu kelak.

"Nasihat ini kekal berkuat kuasa dan akan dikemas kini mengikut keperluan sekiranya perkembangan semasa menuntut langkah lanjut diambil,” menurut kenyataan itu lagi.

Rakyat Malaysia di kawasan terjejas digalakkan untuk mendaftarkan keberadaan mereka melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan bantuan tepat pada masanya.

Menurut Wisma Putra, Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya kekal diaktifkan dan sedang giat menyelaraskan semua usaha konsul di seluruh rantau itu.

Kementerian mengulangi nasihatnya agar rakyat Malaysia di kawasan terjejas bertenang, mengelak daripada menyebarkan khabar angin yang tidak sahih, dan bergantung sepenuhnya kepada saluran rasmi Kementerian Luar serta sumber yang berwibawa untuk mendapatkan maklumat terkini.

Bagi bantuan kecemasan konsul, rakyat Malaysia yang tidak dapat menghubungi Perwakilan Malaysia boleh terus menghubungi Bilik Operasi Kementerian di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my. - Bernama