KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan Madani pada Khamis.
Seorang Ahli Parlimen daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut menandatangani perjanjian berkenaan.
Muhyiddin berkata, menerusi CSA itu, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen terbabit pada kadar setara dengan ahli Parlimen kerajaan.
Menurutnya, jumlah peruntukan itu dianggarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun dan bermula dari tarikh perjanjian ditandatangani.
"Hari ini saya tandatangan mewakili enam Ahli Parlimen Bersatu termasuk saya. Yang lain-lain ialah mereka yang menyatakan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri.
"Jadi disebabkan mereka dah bersetuju untuk menyokong Perdana Menteri, hari ini buat macam formalitilah saya fikir, dia tandatangan juga CSA.
“Satu atau dua lagi parti lain, saya tidak tahulah apa sebabnya mereka tidak memeterai perjanjian ini. Itu masalah mereka kerana kita sejak awal lagi mengharapkan ada perkara seperti ini,” katanya di Parlimen pada Khamis.
Ditanya mengenai perkara lain yang dipersetujui menerusi CSA, Muhyiddin berkata, Ahli Parlimen Bersatu akan menyokong belanjawan yang sedang dibahaskan dan perkara berkaitan.
Beliau berkata, perjanjian itu turut menyentuh beberapa perkara berkaitan reformasi institusi, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal.
"Selain itu, perkara lain yang disentuh ialah mengenai pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
"Kalau ada perkara yang dipersetujui tapi tidak dipatuhi, maka pihak yang berkenaan sama ada kerajaan atau pembangkang akan mengambil tindakan dan mungkin boleh menyebabkan terputusnya CSA yang kita tandatangan pada hari ini.
"Tanggungjawab kita akan teruskan dan kita harap perjanjian ini akan terus kekal sehingga Parlimen dibubarkan," ujarnya.