KUALA LUMPUR - Konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran kini menjejaskan operasi lapangan terbang dan akan menimbulkan kesan jangka masa pendek yang ketara terhadap penerbangan dunia dengan agregat kos industri mungkin mencecah lebih AS$1 bilion jika situasi menjadi semakin buruk.
Demikian pendapat seorang ahli ekonomi apabila ribuan penerbangan Timur Tengah terpaksa dibatalkan manakala ruang udara rantau itu turut ditutup selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu.
Syarikat penerbangan utama termasuk Qatar Airways dan Saudia Airlines serta syarikat penerbangan yang berpangkalan di Abu Dhabi menggantung atau membatalkan sejumlah penerbangan sejak semalam.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sebagai lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di dunia, dilaporkan mengalami kerosakan berikutan serangan balas oleh Iran dan kalangan pegawai mengesahkan empat kakitangan cedera.
Di samping itu, serangan dron yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pula menyebabkan beberapa kakitangan cedera ringan dan Terminal 1 mengalami kerosakan kecil.
Dron Iran turut menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain sehingga mengakibatkan kerosakan bangunan namun tiada kehilangan nyawa manakala serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu mengorbankan satu nyawa dan tujuh yang lain cedera.
Impak operasi syarikat penerbangan
Ketua Ahli Ekonomi Global di Juwai IQI, Shan Saeed berkata, syarikat penerbangan mungkin perlu menyusun semula jadual atau mengurangkan kapasiti, yang boleh memberi kesan terhadap kesambungan.
"Langkah mengubah laluan biasanya menambah tempoh penerbangan satu hingga dua jam, dengan setiap jam meningkatkan kos melibatkan bahan api dan anak kapal dalam anggaran AS$6,000 hingga AS$10,000 bagi setiap penerbangan jarak jauh.
"Sekiranya penutupan ini berterusan, kos terkumpul boleh meningkat hingga ratusan juta sebulan melibatkan seluruh industri,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, bagaimanapun kos ekonomi yang muktamad bergantung kepada tempoh konflik memandangkan gangguan yang berlarutan boleh menyebabkan kesan ekonomi berganda yang lebih luas.
Dalam pada itu, Prof Madya Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian dari Business School Universiti Kuala Lumpur turut senada dengan Shan.
Beliau berkata, nilai atau kos kewangan akan terjejas teruk memandangkan harga minyak mentah akan melonjak disebabkan peningkatan premium risiko.
Perubahan laluan penerbangan untuk mengelakkan kawasan konflik berkemungkinan menyebabkan kos operasi menjadi lebih tinggi terutama jika laluan lebih panjang digunakan, katanya.
Beliau berkata, kesesakan di sesetengah laluan juga boleh mengganggu jadual penerbangan dan mengakibatkan kelewatan.
"Syarikat penerbangan perlu mengambil langkah proaktif dan mengoptimumkan penggunaan sumber dan aset masing-masing untuk mengawal perkara ini. Ini boleh dicapai melalui penggunaan model matematik bijak untuk mengimbangi lonjakan kos,” katanya.
Impak terhadap perniagaan kargo, trafik udara dan ekonomi keseluruhan
Pakar Ekonomi, Prof Dr Geoffrey Williams berkata, serangan ke atas hab utama seperti Dubai dan Doha akan mengganggu ratusan penerbangan setiap hari, menjejaskan ratusan ribu penumpang dan penghantaran kargo serta ratusan ribu tan muatan udara antarabangsa.
"Ini akan mencetuskan kesan ekonomi yang besar ke atas lapangan terbang serta perniagaan penumpang dan kargo. Sekiranya konflik semakin buruk dan berpanjangan, kesannya akan berganda,” katanya.
Beliau berkata, malangnya penumpang dan pelanggan terpaksa menanggung kos jika penutupan ruang udara berlarutan.
"Jika mempunyai insurans, mereka boleh mendapatkan semula sebahagian kerugian. Lazimnya, syarikat penerbangan dan lapangan terbang dikecualikan kerana situasi sedemikian adalah luar kawalan mereka.
"Syarikat terbabit dan lapangan terbang mungkin menawarkan pampasan atau alternatif, dan mereka juga mungkin dilindungi insurans untuk menampung sebarang kerugian,” katanya.
Williams menjangkakan konflik itu tidak berpanjangan dan berkemungkinan berakhir dalam tempoh seminggu.
Rancangan penerbangan hadapi kesan domino
Mohd Harridon berpandangan konflik itu tersebut akan mencetuskan kesan domino terhadap perancangan penerbangan dan beberapa faktor juga akan berubah.
"Contohnya, perubahan ketara terhadap perancangan penerbangan akan menyebabkan syarikat penerbangan memilih lapangan terbang kecemasan alternatif untuk pesawat mereka mendarat sekiranya berlaku kecemasan.
"Perubahan laluan penerbangan juga memerlukan syarikat penerbangan mendapatkan kebenaran daripada negara alternatif bagi menggunakan ruang udara negara yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan ruang udara melibatkan pembayaran fi kepada negara terbabit dan jumlah fi bergantung kepada berat pesawat serta jarak penerbangan dalam sempadan negara yang ditetapkan itu.
Oleh yang demikian, syarikat penerbangan mungkin menghadapi peningkatan perbelanjaan operasi harian disebabkan fi tersebut, katanya.
Kesan sektor pelancongan
Mohd Harridon berkata, sektor pelancongan juga akan terjejas teruk kerana beberapa negara dan bandar di Timur Tengah seperti Dubai dan Qatar bergantung kepada penumpang transit selepas membuat pelaburan besar dalam hab transit.
"Kehilangan trafik penumpang pula akan menyebabkan penyusutan pendapatan bagi perniagaan runcit dan perkhidmatan lain yang bersepadu dengan hab transit di Timur Tengah ini.
"Bagaimanapun, penyusutan ini bergantung kepada tempoh konflik, namun syarikat yang beroperasi dalam lingkungan hab transit tersebut perlu bersedia menghadapi cabaran ekonomi dan kewangan yang bakal mendatang,” katanya. - Bernama