Dakwaan jatuhkan kerajaan: Isu kestabilan negara tidak boleh dipandang ringan - PAKAR

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat berhubung dakwaan komplot jatuhkan kerajaan.

SHAH ALAM - Dakwaan konspirasi menjatuhkan kerajaan merupakan isu serius yang luar biasa, bukan sekadar pertikaian politik biasa, tetapi melibatkan kemungkinan ancaman sistem pemerintahan yang dipilih rakyat.

Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), Nazir Ab Hadi berkata, kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai siasatan terhadap dakwaan itu seharusnya membuka mata rakyat bahawa isu kestabilan negara bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, apabila pihak berkuasa mengesahkan siasatan di bawah undang-undang yang berkaitan dengan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen, ini menunjukkan tahap keseriusan yang luar biasa.

"Lebih membimbangkan, laporan yang dibuat mendakwa wujud usaha menggunakan media antarabangsa, pelobi luar negara dan tekanan persepsi global untuk mempengaruhi politik domestik Malaysia.

Iklan

"Sekiranya benar, tindakan sedemikian melangkaui batas perdebatan demokratik dan menyentuh soal kedaulatan negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, dalam era maklumat tanpa sempadan, persepsi boleh menjadi senjata yang lebih berkesan daripada kekuatan fizikal.

Iklan

Jelasnya, naratif yang dibentuk secara sistematik mampu melemahkan keyakinan rakyat terhadap institusi, memecah-belahkan masyarakat dan akhirnya menjejaskan legitimasi kerajaan.

"Tidak mustahil juga bahawa serangan berterusan terhadap institusi penguatkuasaan termasuk terhadap kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.

"SPRM dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menunjukkan pendekatan 'tanpa pilih bulu', menyiasat tokoh politik, korporat, penjawat awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan bahkan kepimpinan tertinggi sektor pertahanan negara," ujarnya.

Tambahnya, pendekatan tegas ini sememangnya penting dalam memerangi rasuah, tetapi pada masa yang sama boleh mencetuskan tindak balas daripada pihak yang berkepentingan.

"Namun begitu, kita juga tidak boleh terjebak dalam spekulasi.

"Prinsip asas negara hukum ialah keadilan mesti berasaskan bukti, bukan persepsi atau tekanan media. 'Trial by media' bukan sahaja boleh memusnahkan reputasi individu, malah berpotensi menjejaskan kepercayaan terhadap institusi negara," ujarnya.

Tegas Nazir, jika benar wujud konspirasi, ia mesti ditangani dengan tegas demi mempertahankan demokrasi dan kedaulatan negara.

"Jika dakwaan itu tidak berasas, penyebaran tuduhan sedemikian juga perlu diambil tindakan agar tidak menjadi alat manipulasi politik," ujarnya.

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, polis sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan isu terbabit selepas menerima laporan pada Khamis.

Mohd Khalid dilaporkan berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.