PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa selepas skuad Gergasi Merah gagal meraih kemenangan ke atas Melaka FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat pada Sabtu.
Impian Selangor untuk melebarkan jurang bagi mengakhiri saingan liga di kedudukan naib juara tersentak apabila sekadar berpuas hati meraih satu mata selepas terikat tanpa jaringan dengan pasukan kedua tercorot liga itu.
Lebih mencuri tumpuan, rakaman video Astro Arena memaparkan Pan-gon dilihat cukup kecewa dan seolah-olah 'menyekolahkan' barisan pemain serta staf kejurulatihannya di tepi padang sejurus tamat perlawanan.
Berkongsi rasa terkilan dalam sidang akhbar selepas perlawanan, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu tamparan hebat buat kem Selangor.
"Ya, perlawanan yang sangat sukar. Tetapi keputusannya amat, amat mengecewakan. Jika anda mahu menjamin kedudukan nombor dua (liga), perlawanan seperti ini wajib dimenangi.
"Selagi kita belum berada di tahap itu, saya rasa pasukan ini belum cukup kuat. Kita mesti jadi lebih kuat dan perlu bekerja lebih keras," katanya.
Mengulas lanjut, bekas pengendali Harimau Malaya itu mengakui masalah konsistensi masih menghantui anak buahnya dan menuntut kelemahan itu diatasi segera.
"Inilah realiti dan tahap kita sekarang. Kadang-kadang kita bermain dengan sangat baik, mungkin boleh jaringkan lima gol, tetapi kadang-kadang jadi begini (buntu).
"Sejak saya mula pertengahan musim ini, prestasi kita ada naik dan turun. Jika mahu menjadi pasukan yang lebih baik, kelemahan ini wajib diperbaiki," katanya.