SEREMBAN – Ketika umat Islam membuat persiapan untuk bersahur sekitar jam 4 pagi, ratusan ‘mat motor’ pula terpaksa mendengar ‘tazkirah OCPD’ selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Senawang 1, di sini, pada Ahad.
Sebelum itu, mereka diarahkan menolak motosikal sejauh kira-kira satu kilometer ke Balai Polis Senawang selepas kawasan berkenaan dikepung pihak berkuasa dalam operasi yang bermula jam 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, sebanyak 183 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 167 kenderaan dalam operasi terbabit.
“Daripada jumlah itu, tiga penunggang motosikal termasuk seorang berusia 14 tahun ditahan selepas didapati melakukan aksi ‘wheelie’ sehingga membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Kesemua suspek direman selama tiga hari di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya,” katanya.
Menurutnya, secara keseluruhan, seramai 192 individu diperiksa yang majoritinya berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Azahar berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan kekerapan aduan dan rungutan daripada penduduk setempat berhubung aktiviti lumba haram di kawasan itu.
“Boleh dikatakan hampir setiap minggu kita mengadakan operasi dan kawasan Senawang dipilih kerana ia antara lokasi panas di daerah ini yang sering menerima aduan masyarakat.
“Walaupun operasi dijalankan secara berterusan, kita dapati individu yang benar-benar terlibat dalam perlumbaan tidak ramai, sebaliknya yang lebih ramai ialah penonton di kiri dan kanan jalan,” katanya.
Jelas beliau, kehadiran penonton secara tidak langsung memberi sokongan kepada aktiviti berkenaan sekali gus mendorong ‘mat rempit’ untuk terus beraksi.
Tambahnya, berdasarkan pemerhatian polis, lokasi perlumbaan haram di kawasan Senawang lazimnya melibatkan laluan dari Giant Senawang hingga ke arah Matahari Heights.
“Mereka biasanya mula berkumpul sekitar jam 1 pagi sebelum memulakan perlumbaan kira-kira jam 2 pagi dan berakhir sekitar jam 4 atau 5 pagi.
“Kita akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin serta mengekang kegiatan lumba haram daripada terus berleluasa,” katanya.