MELAKA - Padah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis, seorang lelaki didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Tertuduh, Yeo Khen Toon, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleimen sejurus pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menggunakan perkataan kurang sopan terhadap seorang anggota polis dengan tujuan membangkitkan kemarahan sehingga mengganggu keamanan.
Kesalahan itu dilakukan di Hotel Elmark Jalan Melaka Raya Taman Melaka Raya di sini pada 14 Februari lalu sekitar jam 2.40 pagi ketika anggota polis tersebut sedang bertugas dalam operasi narkotik.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif, memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek, yang mewakili tertuduh merayu supaya denda minimum dikenakan atas alasan tertuduh tidak bekerja dan hanya bergantung kepada simpanan sebelum ini.
Katanya, tertuduh yang menghidap penyakit kencing manis juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.
Mengikut fakta kes, tertuduh didapati merakam gambar anggota polis yang sedang bertugas menahan seorang suspek berkaitan kes dadah sebelum diarahkan menghentikan perbuatan itu dan memadamkan rakaman tersebut.
Bagaimanapun, tertuduh bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis berkenaan sebelum ditahan atas kesalahan itu.