SHAH ALAM - Seorang pemilik studio seni kerugian hampir RM2,000 selepas premisnya di Bandar Bukit Tinggi, Klang dipercayai dipecah masuk tiga lelaki tempatan pada 24 Oktober lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, dalam kejadian 4.20 pagi itu ketiga-tiga suspek dipercayai bertindak mengumpil pintu jeriji dan pintu kayu studio berkenaan sebelum melarikan barangan milik pengadu.
"Bertindak atas maklumat, pada 27 Oktober polis telah membuat tangkapan terhadap tiga lelaki berusia lingkungan 22 hingga 30 tahun. Kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jit Huey berkata kesemua suspek kini direman tiga hari hingga 31 Oktober ini bagi membantu siasatan.
Beliau turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat Sjn Nurman Amri Abdul Rahman di talian 011-11559066, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222, atau mana-mana balai polis berdekatan.
Kes disiasat di bawah seksyen 457 kanun keseksaan - Bernama