KUALA LUMPUR - Tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap tapak Street Dakwah di Bukit Bintang tiada kaitan isu dakwah, sebaliknya susulan aduan orang awam berhubung pemasangan kanopi di lokasi berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menjelaskan, pasukan penguat kuasa DBKL turun ke tapak untuk meninjau keadaan termasuk dakwaan berlakunya vandalisme.
"DBKL menunggu kira-kira 30 minit di lokasi selepas aduan diterima, namun tiada wakil tampil sebelum tindakan lanjut diambil.
"Bahan-bahan (yang dirampas) ini seperti kerusi, meja lipat, khemah, troli beroda juga telah diambil balik oleh Multiracial Reverted Muslims (MRM). Tidak ada bahan agama dirampas," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai tindakan penguatkuasaan DBKL terhadap tapak Street Dakwah di Bukit Bintang termask rampoasan barangan dakwah seperti risalah.
Dalam pada itu Hannah memaklumkan, seorang pegawai DBKL yang bertugas pada hari kejadian telah diganggu di media sosial ekoran beberapa sentimen yang dimainkan.
"Pegawai tersebut diganggu sehingga terkesan dan terpaksa menutup akaun media sosial miliknya.
"Situasi ini yang menyedihkan saya kerana banyak persepsi yang mereka mainkan. Ini tidak wajar berlaku.
"Apabila pegawai penguat kuasa terima aduan, mereka turun ke padang, kena laksanakan tanggungjawab tanpa rasa takut dan sebagai penjawat awam (mereka bertugas dengan) jujur," ujarnya.