KUALA LUMPUR - Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya insiden melibatkan seorang individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial Threads menggunakan nama akaun ryandaselva.
Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan perbuatan itu sebagai tindakan biadab, menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Pada masa sama, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, MCMC akan menyelaras bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan menyeluruh dan tanpa kompromi, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
"Sebarang perlakuan menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman pada Rabu mengesahkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan polis untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial melalui hantaran yang tular sejak semalam.
Mengulas isu sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi jaminan insiden itu akan diselesaikan segera memandangkan perbuatan itu mampu mengundang kegusaran terutamanya berlaku pada bulan Ramadan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar bertenang serta tidak mengambil sebarang tindakan luar jangka terhadap pelajar tersebut.
"Tindakan-tindakan tidak beradab ini perlu ditangani segera dan kita juga mengambil langkah-langkah segera bagi memastikan ia tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius insiden berkenaan.
"Pihak berkuasa sedang menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk telah menangkap dan mendakwa individu tersebut mengikut lunas undang-undang.
"Semua pihak juga diseru untuk terus menjaga keharmonian yang telah dibina selama ini tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak pelampau yang mahu menggugat keamanan di Malaysia," katanya menerusi kenyataan. - Bernama