Berang ditegur main senapang, lelaki tembak mati warga emas

Iklan
Suspek ditahan bersama senapang yang digunakan semasa kejadian.

JULAU - Berang selepas ditegur bermain senjata api di kawasan rumah panjang, seorang lelaki dipercayai menembak seorang warga emas di kaki lima Rumah Panjang Minis Sungai Minus Entabai, di sini, pada Selasa.

Mangsa, Vincient Anak Belingau, 69, disahkan meninggal dunia pada jam 11.49 pagi di Klinik Kesihatan Nanga Entaih akibat kecederaan tembakan pada bahu kanan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintenden Alif Haiqal Ramesh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari sebelum siasatan dijalankan.

"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa, yang juga seorang pekebun, berada di kaki lima rumah panjang selepas pulang dari kebun sawit.

Iklan

"Siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki berusia 43 tahun, dipercayai berlari dari sebuah bilik, sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan senapang patah ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Alif Haiqal berkata, terdapat seorang saksi yang berada berhampiran turut memaklumkan terdengar bunyi tembakan sebelum melihat mangsa rebah.

Iklan

"Anak mangsa yang berada di bilik lain kemudian membawa bapanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kecederaan tembakan yang menyebabkan pendarahan teruk,” tambahnya.

Katanya lagi, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 1.35 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau di rumah panjang berkenaan.

"Turut dirampas sepucuk senapang patah bersama sejumlah peluru hidup dan kelongsong peluru pelbagai jenama di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati semasa hari kejadian sekitar jam 5 pagi, suspek berang selepas ditegur oleh mangsa supaya tidak bermain senjata api di kawasan rumah panjang.

"Motif suspek dipercayai kerana rasa tidak puas hati terhadap teguran beberapa kali yang diberikan oleh mangsa.

"Pemeriksaan mendapati senapang patah yang digunakan suspek merupakan milik ibunya dan dipercayai diambil tanpa kebenaran dari tempat simpanan sebelum digunakan dalam kejadian tersebut," katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.