MELAKA – Seorang pengetua sekolah agama di negeri ini direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu selepas disyaki meminta dan menerima rasuah dianggarkan berjumlah RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat.
Perbuatan itu dipercayai sebagai balasan untuk meluluskan tuntutan bayaran berkaitan pembekalan makanan bermasak.
Perintah reman sehingga 1 Mac depan dikeluarkan Majistret Uthman Abd. Ghani selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan sekitar jam 3 petang pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dan menerima wang rasuah secara tunai.
“Suspek dipercayai telah mengarahkan syarikat pembekal tersebut menyediakan makanan bermasak untuk pelajar institusi berkenaan, namun pembekalan itu didapati tidak sempurna,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.