Polis tahan pelajar kes hantaran hina agama

Iklan
UMPSA pada Rabu memaklumkan pihaknya memandang serius penyebaran kandungan menyentuh isu 3R di media sosial menerusi akaun milik individu yang didakwa pelajar universiti itu.

KUANTAN - Seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap agama.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Kita tahan pelajar dan hari ini permohonan reman akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya ringkas.

Beliau memaklumkan kes kini disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Iklan

Terdahulu, tular satu hantaran di laman sosial memaparkan tindakan seorang lelaki yang menggesa orang ramai berhujah menggunakan fakta dan rujukan bagi mengekalkan etika perbincangan yang sihat.

Menerusi hantaran yang disematkan (pinned) pada profilnya, individu itu menegaskan bahawa penggunaan kata makian dan hinaan hanya membuang masa serta tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak.

Iklan

Namun, lelaki berkenaan kemudian dikesan beralih daripada menyeru perbincangan sihat kepada memuat naik status provokatif yang menghina Nabi Muhammad SAW serta menyamakan agama dengan haiwan.

Sementara itu, Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan pihaknya memandang serius penyebaran kandungan menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial menerusi akaun milik individu yang didakwa pelajar universiti itu.

Menurut kenyataan itu, pihak UMPSA sedang menjalankan siasatan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.