Pemandu diberkas selepas dikejar polis 10km

Iklan
Gambar kejadian yang tular di media sosial.

SUNGAI PETANI - Seorang pemandu kereta berjaya diberkas di Taman Seri Tanjung, Sungai Layar di sini setelah dikejar polis sejauh kira-kira 10 kilometer (km) pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pemandu lelaki berusia 22 tahun itu pada mulanya diarahkan berhenti ketika melalui Tikam Batu namun tidak mengendahkannya, sebaliknya memecut kenderaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis mengejar suspek selain meminta bantuan pasukan MPV lain untuk tindakan lanjut.

"Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, anggota menerima makluman daripada Pusat Kawalan Daerah Kuala Muda untuk memberi bantuan kepada MPV Bravo/Charlie yang sedang mengejar kenderaan suspek yang cuba melarikan diri selepas diberikan arahan berhenti.

Iklan

"Apabila tiba di kawasan perumahan Taman Seri Tanjung, suspek terlanggar sebuah kereta yang diparkir di garaj, kemudian terus melarikan diri sekali lagi walaupun telah diberikan arahan berhenti," katanya.

Menurut Hanyan, apabila tiba di Jalan Sungai Layar, suspek bertembung dengan kenderaan MPV yang datang untuk memberi bantuan.

Iklan

Bagaimanapun, dalam cubaan untuk melarikan diri sekali lagi, suspek hilang kawalan lalu terlanggar bahagian tepi kenderaan polis tersebut.

"Akibat pelanggaran tersebut, suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sungai Petani untuk tindakan lanjut," katanya.

Hasil siasatan awal mendapati nahas berpunca daripada kecuaian suspek yang memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.

Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu setakat ini tidak menemui sebarang penemuan mencurigakan namun semakan mendapati kenderaan terbabit telah tamat tempoh cukai jalan.

Hanyan berkata, kes yang tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai tanggapan orang awam itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.