KUALA LUMPUR – UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) terus memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam ekosistem perniagaan apabila merekodkan lebih 500 vendor berdaftar menerusi Agenda Pemerkasaan Vendor Bumiputera (BVEA) yang dipelopori oleh peneraju infrastruktur utama negara, UEM Group Berhad (UEM Group).
Kesemua vendor berkenaan berpotensi mendapat manfaat daripada pelbagai dasar dan sokongan di bawah inisiatif tersebut yang diperkenalkan pada 2015. Inisiatif di bawah rangka kerja itu merangkumi vendor yang menawarkan pelbagai bidang perkhidmatan kepada UEM Sunrise termasuk landskap, perundingan, perkhidmatan kreatif dan pengurusan acara.
Sebagai sayap pembangunan hartanah UEM Group, UEM Sunrise memainkan peranan penting dalam memperluaskan penyertaan bumiputera menerusi peluang perolehan dan inisiatif pembangunan keupayaan selari dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Malah ia turut memperkukuhkan usaha pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang memberi tumpuan kepada penskalaan syarikat Bumiputera dengan sasaran sebanyak 15 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2035.
Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin berkata, agenda pembangunan vendor bumiputera yang dilaksanakan itu memberi penekanan kepada pembinaan perkongsian jangka panjang, bukan sekadar urus niaga sementara.
“Fokus kami adalah untuk mewujudkan ekosistem di mana perusahaan bumiputera diberikan peluang, pendedahan dan sokongan untuk berkembang secara mampan.
"Ini bukan sekadar mengenai hasil perniagaan, tetapi juga merangkumi inisiatif pembinaan keupayaan, kepercayaan dan daya tahan dalam jangka panjang,” katanya.
Nada sama turut dikongsi oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan yang melihat usaha ini sebagai satu tanggungjawab bersifat jangka masa panjang.
“Usaha yang diambil bagi membantu memacu keupayaan dan pertumbuhan syarikat Bumiputera ini sekaligus menyumbang ke arah mengukuhkan ekosistem penyampaian kami di UEM Sunrise.
“Kerjasama strategik yang dijalinkan ini sudah pasti akan membangunkan perniagaan yang lebih berdaya tahan dan mewujudkan asas yang lebih kukuh untuk masa hadapan," ujar beliau.
Pemangkin utama
Sementara itu, Pengarah PSB Associates Sdn Bhd (PSB Associates), sebuah syarikat perunding kejuruteraan, Abu Bakar Omar berkata, inisiatif BVEA menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan perniagaan syarikatnya yang kini mampu menembusi projek bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, peluang yang diberikan UEM Sunrise menerusi inisiatif berkenaan melibatkan penawaran projek, selain bimbingan menyeluruh dari aspek pengurusan, pematuhan prosedur, sistem kawalan kualiti dan tadbir urus korporat.
"Tanpa UEM Sunrise dan BVEA, saya boleh katakan PSB Associates hampir tidak wujud. Dalam industri perundingan, projek berskala besar lazimnya memerlukan firma yang mempunyai pengalaman korporat 10 hingga 15 tahun.
“Melalui inisiatif itu, kami diberi peluang membina rekod prestasi walaupun syarikat masih baharu, sesuatu yang sukar diperoleh tanpa sokongan pemaju besar,” katanya ketika sesi temu bual bersama media di pejabat UEM Sunrise, Solaris Dutamas, baru- baru ini.
Abu Bakar berkata, projek pertama bersama UEM Sunrise ialah pembangunan kediaman Bayu Angkasa menjadi titik tolak kepada pembentukan struktur organisasi dan sistem operasi syarikat.
“UEM Sunrise percaya projek berskala besar diberikan kepada syarikat bumiputera yang baharu. Di situlah kami belajar mengurus projek secara profesional, daripada dokumentasi, pengurusan kualiti hingga pematuhan prosedur kerja.
“UEM Sunrise dikenali sebagai klien yang mempunyai sistem dan proses yang sangat ketat. Apabila kami mampu memenuhi keperluan mereka, ia secara langsung mengukuhkan reputasi syarikat di pasaran.
"Hasilnya, PSB Associates kini berkembang dengan mempunyai 35 kakitangan dan berjaya menarik pelbagai klien termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat antarabangsa, khususnya dalam sektor pusat data yang melibatkan pelaburan bernilai berbilion ringgit," menurutnya.
Beri nilai tambah
Dalam pada itu, Pengurus Besar Penyampaian Kreatif Reed Works Sdn Bhd (Reed Works), Natasha Nazli berkata, penyertaan syarikat dalam BVEA telah memperkasa struktur dan tadbir urus organisasi selari dengan usaha transformasi yang dilaksanakan mereka.
Menurutnya, ketika mula terlibat sebagai vendor di bawah inisiatif berkenaan, Reed Works yang menawarkan perkhidmatan kreatif semenjak tahun 2012, mula didedahkan kepada pelbagai ruang penambahbaikan termasuk keperluan untuk mempunyai maklumat dan proses kerja yang standard, tidak kira sama ada syarikat berskala kecil atau besar.
"Pendekatan kerja yang berasaskan proses yang diamalkan oleh UEM Sunrise membantu kami menjadi lebih cekap dan tersusun,” katanya.
Ujar Natasha, pendedahan terhadap pelbagai polisi dan keperluan pematuhan, termasuk aspek perundangan, turut memberi nilai tambah kepada syarikat dalam memastikan operasi dijalankan secara profesional dan mampan.
“Bimbingan dan pandangan daripada pegawai yang berpengalaman turut membantu kami mengenal pasti jurang kelemahan dan seterusnya memahami cara untuk menanganinya," ujarnya.