Bersatu Melaka lumpuh, lima daripada enam bahagian bubar

Iklan
Rahim (duduk, tengah) pada sidang akhbar pembubaran jawatankuasa lima Bahagian Bersatu Melaka pada Selasa.

MELAKA - Lima daripada enam jawatankuasa bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini mengumumkan pembubaran serta-merta berkuat kuasa pada Selasa.

Bahagian terlibat ialah Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin manakala Kota Melaka tidak terbabit dalam keputusan tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata, pembubaran itu merangkumi Jawatankuasa Bahagian, sayap Armada, Srikandi, Srikandi Muda, Bersekutu Bahagian serta seluruh cawangan dan sayap cawangan di bawah pentadbiran masing-masing.

Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua BPN Melaka, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Ketua Bahagian Bersatu Alor Gajah.

Iklan

"Keputusan ini dibuat secara sebulat suara, sukarela dan tanpa sebarang paksaan selepas mengambil kira perkembangan semasa parti di peringkat pusat serta suara akar umbi.

“Keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti semakin terhakis dan tidak lagi dapat dipulihkan,” katanya pada sidang akhbar di Peringgit Point di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau menambah, kepercayaan hilang itu berpunca daripada kegagalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kepimpinan pusat dalam menangani krisis dalaman secara tuntas dan berhemah.

"Kepimpinan juga gagal mengembalikan kestabilan organisasi, menyusun strategi politik yang jelas dan meyakinkan serta memelihara semangat perjuangan asal parti berteraskan integriti, akauntabiliti dan keberanian reformasi.

“Langkah ini merupakan manifestasi pendirian tegas pimpinan dan akar umbi di Melaka yang tidak lagi sanggup berkompromi dengan kepimpinan yang dilihat telah kehilangan legitimasi moral dan politik,” katanya.

Beliau menegaskan pembubaran itu sebagai satu langkah ‘reset’ politik bagi membuka ruang kepada pendekatan baharu yang lebih segar dan berintegriti.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar atas pelantikan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional.

"Kami berharap kepimpinan baharu ini mampu menyuntik nafas segar, memperkukuh kesatuan komponen serta mengemudi PN (Perikatan Nasional) ke arah gerak kerja yang lebih tersusun, progresif dan berkesan.

"Menjadi harapan kami agar di bawah kepimpinan beliau, PN dan keseluruhan blok pembangkang akan tampil lebih dinamik, strategik serta diyakini rakyat sebagai alternatif yang kukuh dan berwibawa dalam landskap politik negara," katanya.