SOLARVEST Holdings Berhad (Solarvest) mencatat keuntungan bersih RM21 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2026, melonjak 45.8 peratus berbanding RM14.4 juta tempoh sama tahun lalu.
Prestasi kukuh tersebut disumbangkan terutamanya oleh projek berskala utiliti susulan pelaksanaan Large Scale Solar 5 (LSS5) serta kesinambungan projek di bawah Corporate Green Power Programme (CGPP).
Margin keuntuntung bersih pula kekal kukuh pada 11.6 peratus berbanding 10.6 peratus sebelum ini.
Segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) terus menjadi penyumbang utama hasil Kumpulan dengan menjana RM427.2 juta, bersamaan 87.5 peratus daripada jumlah hasil.
Segmen penjanaan tenaga boleh diperbaharui turut menunjukkan pertumbuhan stabil apabila jualan elektrik meningkat 26.7 peratus tahun ke tahun kepada RM24.2 juta berbanding RM19.1 juta sebelumnya.
Solarvest turut memperoleh kapasiti kumulatif sebanyak 135MWp melalui beberapa perjanjian pembelian tenaga korporat di bawah Program Powervest.
Kapasiti tersebut dijangka menyumbang hasil berulang tahunan sebanyak RM52.4 juta selepas siap sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, Solarvest terus berada pada landasan pertumbuhan positif disokong pelaksanaan projek yang teratur serta saluran peluang yang sihat.
Menurutnya, Solarvest mencatatkan satu lagi rekod tertinggi buku pesanan EPCC belum dibil sebanyak RM1.543 bilion, yang akan diiktiraf secara berperingkat sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2028.
"Malaysia terus menyaksikan momentum kukuh dalam agenda tenaga boleh diperbaharui (RE), dengan tenaga solar dijangka memainkan peranan penting bagi mencapai sasaran campuran RE sebanyak 70 peratus menjelang 2050.
"Inisiatif kerajaan seperti Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) dijangka mengukuhkan lagi saluran projek Kumpulan, khususnya dalam segmen komersial, perindustrian dan kediaman," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026, Solarvest mencatatkan hasil tertinggi dalam sejarah syarikat sebanyak RM488.4 juta, meningkat 56.5 peratus berbanding RM312.0 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Margin keuntungan kasar kekal sihat pada 28.8 peratus dengan keuntungan kasar RM140.6 juta, manakala untung bersih melonjak 77.1 peratus kepada RM55.6 juta berbanding RM31.4 juta sebelumnya.
Margin untung bersih turut meningkat kepada 11.4 peratus daripada 10.1 peratus.
Pertumbuhan tersebut didorong sumbangan lebih kukuh daripada semua segmen perniagaan serta peningkatan bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu.