Pas akan ambil alih Ketua Pembangkang, calon diputuskan nanti - Takiyuddin

Iklan
Takiyuddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat Tertinggi PN di Pejabat Pas Pusat di sini pada Ahad.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pas dijangka mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu turut dipersetujui Majlis Tertinggi (MT) gabungan berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa perincian lanjut termasuk calon ahli Parlimen bagi jawatan berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.

“Telah diputuskan supaya diberi sedikit masa untuk menentukan ketua pembangkang baharu,” katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Pejabat Pas Pusat di sini pada Ahad.

Iklan

Sinar Harian melaporkan, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Datuk Seri Hamzah Zainudin berkuat kuasa pada Jumaat.

Keputusan itu dibuat terhadap Timbalan Presiden Bersatu itu menerusi persidangan yang berlangsung pada Khamis kerana tindakannya didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Iklan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemelut dalaman yang melanda Bersatu ketika ini dan sama ada ia memberi kesan kepada parti komponen dalam PN, Takiyuddin menegaskan bahawa Pas tidak mencampuri urusan dalaman parti lain.

“Biarkan parti yang terlibat menguruskan perkara ini. Itu (krisis dalaman parti) tiada kaitan dengan kami. Kami tidak mengambilnya secara serius,” katanya.