GEMENCHEH – Vokalis Carburetor Dung, Shahlan Abdullah, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung di Gemencheh, Jumaat lalu.
Arwah yang merupakan penyanyi asal kumpulan muzik genre Punk Rock itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.30 malam di Klinik Kesihatan Gemencheh.
Isteri arwah, Norzatulcima Jamaluddin, 53, berkata, suami dan anaknya pulang berbuka di rumah ibunya di Gemencheh Lama, sebelum mengadu mengalami sakit perut.
“Kami sekeluarga sempat berbuka bersama arwah dan beliau tidak menunjukkan tanda-tanda sakit. Selepas berbuka arwah mahu ke masjid untuk menunaikan solat tarawih tapi berpatah balik kerana mengalami sakit perut.
“Ketika di rumah arwah jatuh pengsan dan segera dibawa menaiki ambulans ke klinik namun doktor mengesahkan arwah telah meninggal dunia,”katanya.
Menurutnya, jenazah telah dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan laporan menunjukkan arwah mengalami serangan jantung.
“Kami sekeluarga redha dengan pemergian arwah kerana arwah pergi di hari yang baik dan bulan yang baik. Alhamdulillah arwah pergi pun dalam keadaan tenang,” katanya di sini hari ini.
Norzatulcima berkata, jenazah suaminya telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Gemencheh Lama, selepas solat Zuhur, semalam.
Arwah merupakan vokalis kumpulan muzik yang berpengaruh besar membawa muzik underground di tanah air pada 1990-an.
Album pertama arwah ‘Songs For Friends’ pernah mendapat sambutan hebat para peminat pada tahun 1993 melalui lagu Boo Hoo Clapping Song.
Malah filem Dari Jemapoh ke Manchestee yang bertemakan ‘road movie’ pada tahun 1998 turut menggunakan lagu Carburetor Dung.
Arwah yang berasal dari Kuala Terengganu itu meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki, Muhammad Fudail Aisyraaf, 27.