SHAH ALAM – Dewan Rakyat digesa segera membentangkan usul bagi menolak Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani pada Oktober tahun lalu susulan keputusan terkini Mahkamah Agung AS pada Jumaat.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, saranan itu merupakan antara langkah yang perlu diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan dalam menangani perkembangan tersebut.
Ujarnya, keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan tarif timbal balas Presiden Donald Trump itu membuka realiti bahawa kerajaan Persekutuan didakwa membuat komitmen besar berasaskan dasar yang tidak sah di negara rakan perjanjian itu sendiri.
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu menulis secara rasmi kepada Washington bagi memaklumkan penamatan perjanjian.
“Komitmen RM1.02 trilion berikutan rundingan tarif timbal balas dibatalkan dan impak ekonomi serta perundangan perlu dikaji semula dengan teliti,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Agung AS membatalkan tarif yang digelar sebagai tarif timbal balas oleh Trump yang menyasarkan hampir semua rakan dagang utama negara itu, sekali gus memberi tamparan besar kepada dasar ekonomi utamanya dan berkemungkinan merumitkan hubungan Washington dengan seluruh dunia.
Mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi itu memutuskan bahawa Trump melangkaui kuasa presidennya apabila menggunakan undang-undang darurat era 1970-an tahun lalu untuk mengenakan tarif global secara meluas, selain duti berkaitan fentanil yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.
Menurut Tun Faisal, keputusan Mahkamah Agung AS membuktikan bahawa Kerajaan Madani melakukan tindakan secara terburu-buru dan terlalu menumpukan naratif politik tanpa penilaian risiko undang-undang serta ekonomi.
Ujar beliau, tindakan tersebut mencerminkan kelemahan pentadbiran dan kegagalan strategik yang memberi kesan terhadap masa depan rakyat serta negara.
“Perjanjian sebegini boleh mengehadkan kebebasan Malaysia dalam melindungi industri tempatan dan menentukan dasar subsidi serta insentif.
“Selain itu, ia juga mengehadkan pengurusan perolehan kerajaan dan tindak balas terhadap krisis ekonomi pada masa depan,” ujarnya.