JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan inisiatif membantu rakyat mendapatkan pilihan juadah pada harga serendah RM5 menerusi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di seluruh negara.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pada tahun ini sebanyak 116 BRR dianjurkan di seluruh negara dengan penglibatan 3,000 peniaga sejak dianjurkan empat tahun lalu.
"Pada peringkat awal hanya 41 lokasi BRR dan kemudian meningkat setiap tahun. Di Johor terdapat sembilan BRR di seluruh negeri pada tahun ini hasil kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Peniaga yang menyertai BRR mahu berkongsi rezeki dan percaya walaupun untungnya sedikit tetapi mereka mendapatkan keberkatan yang lebih," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan BRR peringkat kebangsaan di Perling pada Jumaat.
Dalam pada itu Fuziah turut menjelaskan, program Ihsan Foodbank Ramadan dilaksanakan secara kerjasama strategik bagi mengumpul lebihan makanan yang tidak terjual sebelum waktu berbuka puasa untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
Jelasnya, makanan dan minuman yang disumbangkan akan dikumpulkan di kanopi khas, ditimbang serta dilabel bagi tujuan pemantauan.
“Langkah ini bukan sahaja menyelamatkan makanan, malah membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
"Tahun lalu, lebih 69,000 kilogram makanan berjaya diselamatkan dengan nilai melebihi RM833,000, selain mengelakkan pelepasan kira-kira 129 kilogram gas rumah hijau ke alam sekitar,” katanya.
Fuziah menjelaskan inisiatif BRR dan Ihsan Foodbank Ramadan ini akan terus diperkukuh dengan pelbagai insentif dan kerjasama strategik agar manfaatnya dapat dirasai lebih meluas oleh rakyat.
Dalam pada itu peniaga Abdul Halim abd Rahman, 32 yang menawarkan ayam goreng pada harga RM1 berkata, dia sudah sembilan tahun menjalankan perniagaan tersebut.
"Walaupun keuntungan yang diperoleh tidak besar, tetapi saya percaya masih ada rezeki.
"Setiap hari, dianggarkan antara 30 hingga 50 kilogram ayam mampu dijual," katanya.