Wakil rakyat bebas boleh bentuk gelombang ketiga - Ahli Parlimen Bukit Gantang

Iklan
Syed Abu Hussin (berdiri kiri) menyantuni mahasiswa yang menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Parlimen Bukit Gantang di Pusat Khidmat P059 Ahli Parlimen Bukit Gantang pada Jumaat.

BUKIT GANTANG – Wakil-wakil rakyat bebas di negara ini mampu membentuk satu blok baharu di Parlimen yang disifatkan sebagai ‘Gelombang Ketiga’.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, langkah itu bertujuan memberi alternatif kepada landskap politik negara yang ketika ini dilihat semakin berpecah akibat konflik dalaman parti-parti politik.

Iklan
Iklan

Malah, beliau turut bersedia menggerakkan usaha mengumpulkan wakil rakyat bebas bagi tujuan tersebut.

"Kalau siapa yang mahu berkhidmat, saya sedia kumpulkan bersama saya. Kita akan jadikan ‘Third Wave’, Gelombang Ketiga.

Iklan

"Sebab bebas ini kita tidak mahu terikat dengan mana-mana parti," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Parlimen Bukit Gantang di Pusat Khidmat P059 Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini pada Jumaat.

Iklan

Syed Abu Hussin berkata, wakil rakyat yang bertanding atas tiket bebas tidak terikat dengan sebarang kepentingan parti, sebaliknya lebih fokus kepada khidmat kepada rakyat.

Menurutnya, sistem politik berasaskan parti ketika ini menyebabkan calon terpaksa akur kepada kepimpinan walaupun berdepan kepincangan.

"Bertanding atas tiket sendiri sebagai calon bebas adalah lebih baik daripada bertanding atas tiket parti. Parti memecahkan bangsa kita.

"Lagi lama, lagi banyak parti, lagi banyak perpecahan,” ujarnya.

Beliau berkata, perubahan pemikiran rakyat juga semakin jelas apabila pengundi kini lebih menilai calon berdasarkan perkhidmatan dan kredibiliti berbanding lambang parti.

"Yang penting, kita beri perkhidmatan nyata kepada pengundi dan mereka akan hargai.

"Dulu bila saya sebut mahu bertanding bebas, ramai tidak setuju. Sekarang orang nampak boleh buat kerja," katanya.

Syed Abu Hussin berkata, sebelum ini calon bebas khususnya di Semenanjung kurang mendapat tempat, tetapi situasi kini berubah apabila rakyat semakin muak dengan pertelagahan politik kepartian.