PERAI – Tiga unit rumah teres dua tingkat di Halaman Kikik, Taman Inderawasih di sini mengalami kerosakan akibat kebakaran pada Khamis.
Bagaimanapun, semua penghuni berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.23 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan tiga buah rumah berkeluasan kira-kira 30 x 40 kaki persegi bagi setiap unit.
"Anggaran kemusnahan bagi rumah bernombor 23 adalah kira-kira 10 peratus manakala rumah bernombor 25 dan 27 masing-masing 50 peratus dan 40 peratus.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran menggunakan kaedah serangan secara defensif dan ofensif selain mewujudkan ‘fire break’ bagi mengelakkan api merebak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.56 petang sebelum dipadam sepenuhnya pada jam 5.30 petang.
"PKO kemudiannya menjalankan kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada punca bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.48 petang.
“Kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa kerana semua penghuni telah keluar dari rumah sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Menurut beliau lagi, operasi pemadaman turut dibantu BBP Butterworth bersama beberapa pasukan bomba sukarela berhampiran.
"Seramai 17 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi dengan kekuatan empat jentera.
"Kes seterusnya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut manakala Pusat Sehenti Pasca Insiden turut mengambil maklumat pemilik premis serta menyalurkan khidmat nasihat mengikut keperluan semasa," ujarnya.