PASIR PUTEH -"Saya reda, ini kehendak ALLAH, Alhamdulillah kedua-dua anak pergi pada hari yang elok, hari pertama Ramadan".
Demikian luahan Sawidah Mamat, 65, ibu kepada dua beradik yang ditemukan lemas dalam tragedi perkelahan keluarga di Pantai Kandis berdekatan muara Sungai Gali di Bachok pada Selasa lalu.
Menurut ibu kepada lima anak itu, sehingga sekarang dia masih terkejut dengan kejadian itu dan tidak pernah menyangka hari pertama Ramadan kali ini mereka sekeluarga di tanah perkuburan.
"Anak ketiga,Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32, selamat dikebumikan pada malam tadi manakala anak bongsu,Ahmad Nurruddin, 21, hari ini.
"Semoga ALLAH tempatkan anak-anak saya dalam kalangan orang beriman," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Mukim Sri Gedombak di sini pada Khamis.
Jenazah Ahmad Nurruddin yang selamat dikebumikan kira-kira jam 2 petang di sebelah kubur Ahmad Badrul Naim.
Lebih 50 ahli keluarga hadir memberikan penghormatan terakhir.
Sementara itu abang sulung, Ahmad Nasrul Hatim, 39, yang berkhidmat sebagai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberitahu mereka tiga beradik lelaki sangat rapat dan sering dijadikan idola oleh dua adiknya itu.
"Kalau diikutkan arwah adik bongsu juga akan mengikut jejak langkah saya dan ayah. Kami mahu dia sertai TUDM.
"Saya dimaklumkan sebelum kejadian Ahmad Nurruddin sudah menunjukkan perubahan sikap apabila ayah memaklum dia mematikan telefon serta tidak mahu memperbaharui lesen memandu apabila diminta berbuat demikian. Malah sempat berseloroh biarkan sahaja lesen itu 'mati'," katanya.
Ujar dia, Ahmad Badrul Naim pula sempat bermesej dengannya malam sebelum kejadian dan tidak pernah menyangka ia menjadi perbualan terakhir mereka sebelum dikejutkan dengan berita kejadian lemas terbabit.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan jasad anggota bomba yang dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya di Pantai Kandis, Bachok ditemukan tengah hari Rabu.
Mangsa, Ahmad Badrul Naim yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Pulau Pinang, ditemukan terdampar di pantai kira-kira jam 12.15 tengah hari pada jarak tiga kilometer.
Sementara itu, adik kepada anggota bomba yang hilang lebih 37 jam ditemukan lemas pada Khamis.
Mayat Ahmad Nuruddin ditemukan pada jarak 3.7 km dari lokasi dia dikhuatiri hilang pada Selasa lalu.