Berselindung sebagai nelayan, rupanya seludup dadah ke Indonesia

Iklan
Hussein (dua dari kanan) menunjukkan pistol yang dirampas susulan tangkapan tiga individu melibatkan sindiket dadah di Sekinchan, Sabak Bernam.

SHAH ALAM - Kegiatan membawa dadah dari semenanjung melalui perairan Selangor sebelum dipindah ke kapal di tengah laut untuk diseludup ke Indonesia dibongkar selepas tiga dicekup menerusi serbuan di sekitar Sekinchan, Sabak Bernam 12 Februari lalu.

Serbuan Op Tapis itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga warga Indonesia yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 26 hingga 53 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di kawasan perumahan di Kampung Sungai Leman, Sekinchan dengan rampasan tiga bungkusan plastik disyaki dadah methamphetamine seberat 11.36 gram.

Iklan

Lokasi serbuan melibatkan tangkapan dan rampasan sindiket dadah di Sekinchan, Sabak Bernam.

"Serbuan kedua di sebuah bot tidak bernombor di jeti ikan dan menemui 152 bungkusan plastik disyaki methamphetamine seberat kira-kira 158.61 kilogram (kg), lima bungkusan plastik disyaki ekstasi (10.89 kg) serta 2,000 biji katrij disyaki mengandungi dadah jenis MDMA.

Iklan

"Nilai dadah dianggarkan RM12.6 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.

Beliau berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Llama Cal.38 Super beserta satu kelopak berisi empat butir peluru selain 45 butir peluru lain.

Tambah Hussein, suspek pertama merupakan kordinator laut dan darat, manakala suspek kedua ialah 'runner' dan 'boatman' dalam sindiket yang telah aktif sejak 2021 itu.

"Suspek ketiga pula merupakan isteri kepada suspek pertama," ujarnya.

Dedah beliau, dua suspek lelaki yang juga bekerja sebagai nelayan dipercayai menetap di Malaysia tanpa sebarang dokumen, manakala suspek wanita baru tiba sebulan lepas.

Katanya lagi, modus operandi sindiket ialah menggunakan bot pancung sebagai pengangkutan membawa dadah.

Wang tunai dan barang kemas yang dirampas susulan tangkapan tiga individu melibatkan sindiket dadah di Sekinchan, Sabak Bernam.

"Kesemua suspek direman 14 hari bermula 13 Februari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan RM49,000 membabitkan wang tunai 421,000 Rupiah, tiga bentuk cincin, seutas rantai leher dan rantai tangan, satu gelang tangan, sepasang anting-anting serta tiga motosikal," katanya.

Ujar Hussein, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam pengedaran dadah yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat selain mencemarkan imej serta maruah negara.