PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq yang diperintah membayar ganti rugi RM2.5 juta kerana memfitnah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis mengurangkan jumlah itu kepada RM830,000.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan dikemukakan Abu Syafiq atau nama penuhnya Mohd Rasyiq Mohd Alwi, 46, berhubung jumlah ganti rugi berkenaan.
Mohamed Zaini berkata, rayuan ini memberi tumpuan kepada kuantum ganti rugi yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes fitnah yang melibatkan seorang Menteri Kesihatan.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi pada mulanya menganugerahkan ganti rugi am sebanyak RM2 juta namun ia dianggap berlebihan, maka Mahkamah Rayuan mengurangkannya kepada RM500,000.
“Ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 dikekalkan kerana kenyataan fitnah itu bersifat serius dan berpotensi memberi impak kepada orang awam, semasa pandemik Covid-19 lalu.
“Bagi ganti rugi teladan pula, mahkamah mengurangkan jumlah itu daripada RM250,000 kepada RM80,000.
“Susulan itu, jumlah ganti rugi yang diberikan kepada responden (Khairy) ialah RM830,000,” katanya yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahril Mohd Salleh.
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Mohamed Zaini berkata, panel bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan fitnah itu adalah serius.
Katanya, dakwaan tersebut membayangkan ketidakjujuran, penipuan dan pemalsuan rekod vaksinasi terhadap responden, yang ketika itu Menteri Kesihatan.
Beliau berkata, terdapat lapan penerbitan berbeza dan mahkamah berpendapat bahawa responden berhak mendapat ganti rugi untuk setiap penerbitan.
Bagaimanapun katanya, apabila menilai kuantum, beberapa faktor memerlukan pelarasan yang teliti.
Menurutnya, ganti rugi am bertujuan mengimbangi, malah era untuk menerima ganti rugi jutaan ringgit telah berlalu dan bukan untuk memperkayakan.
Dalam pada itu beliau berkata, perayu menonjolkan dirinya sebagai seorang pendakwah agama, maka dia berdepan tanggungjawab yang lebih tinggi jika membuat sebarang kenyataan awam.
“Ini kerana masyarakat memberikan kepercayaan, rasa hormat, dan penghormatan moral yang tinggi kepada individu yang memegang gelaran agama terutama pengikutnya.
“Memilih untuk menerbitkan dakwaan yang tidak disahkan, palsu,dan memfitnah terhadap responden, bukan sahaja menyalahgunakan kedudukan kuasa moralnya malah mengeksploitasi kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat kepada tokoh-tokoh agama,” katanya.
Pada 18 April 2025, Mahkamah Tinggi memerintahkan penceramah itu membayar RM2.5 juta kerana memfitnah Khairy.
Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Khairy, 50, terhadap Abu Syafiq, atau nama penuhnya Mohd Rasyiq Mohd Alwi, 45.
Semasa prosiding, hakim berkata, Khairy selaku plaintif layak menerima ganti rugi am berjumlah RM2 juta, iaitu masing-masing RM250,000 bagi setiap lapan kenyataan fitnah.
Menurutnya, baki RM500,000 lagi ialah ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.5 juta.
Khairy telah memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Rasyiq dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam selaku defendan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Januari 2022.
Saman itu dibuat susulan tulisan dalam talian antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022 berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.
Saman tersebut difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari 2022.
Menurut laporan, Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah supaya status dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita.
Dalam pada itu, Mohd Rasyiq menerusi satu hantaran berasingan sebelum itu turut menyatakan bahawa dia akan memadam semua hantaran dan video vaksin berkait dengan bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
Bagaimanapun pada 15 April 2024, kes saman terhadap Lokman diselesaikan secara baik apabila beliau bersetuju untuk memohon maaf kepada Khairy dalam tempoh 30 hari selain membayar pampasan.
Dalam prosiding tersebut Khairy tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam, Abdul Rashid Ismail sementara Abu Syafiq yang memakai kot berwarna hitam diwakili peguam, Lejerod Limpuong.