KUCHING - Lelaki yang disambar buaya ketika menjala ikan di Sungai Buloh, Sadong Jaya, akhirnya ditemukan meninggal dunia dengan kesan gigitan haiwan tersebut, di sini pada Rabu.
Mayat Mohd Faizal Abdilah, 30, ditemukan nelayan kira-kira jam 2.20 petang iaitu tiga kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa memasuki hari kedua dimulakan pada jam 9.30 pagi.
"Pasukan SAR menjalankan pencarian di sekitar sungai tersebut dengan anggaran radius sejauh lapan kilometer dari lokasi mangsa disambar.
"Komander Operasi memaklumkan mangsa telah ditemui oleh nelayan sebelum dibawa ke PKB.
"Hasil pemeriksaan mangsa ditemui dalam keadaan sempurna namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, pengecaman turut dibuat oleh ahli keluarga sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Dengan penemuan tersebut, operasi ditamatkan pada jam 3 petang," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan mangsa bersama rakannya menjala ikan di kawasan tersebut pada Selasa.
Bagaimanapun, rakannya memaklumkan semasa mangsa turun ke sungai sehingga ke paras pinggang, dia telah disambar buaya sebelum hilang.