'Reset' langkah permulaan ke arah pembetulan, penambahbaikan - Hamzah

Iklan
Hamzah ketika berucap pada program Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik.

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menuntut seluruh pemimpin dan wakil rakyat di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bahagian yang menyertai perjuangan 'Reset' untuk menterjemahkan semangat itu kepada tindakan.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, 'Reset' merupakan langkah permulaan ke arah pembetulan dan penambahbaikan yang akan menjadi asas kepada pembinaan semula kekuatan kolektif, demi masa hadapan negara lebih jelas serta meyakinkan.

Iklan
Iklan

"Kini tanggungjawab terletak kepada seluruh sahabat seperjuangan tidak kira samada di bahagian, DUN, Parlimen atau di setiap peringkat organisasi untuk menterjemahkan semangat reset kepada tindakan nyata.

"Kerana akhirnya, 'Reset' perlukan komitmen, amanah dan tanggungjawab yang ikhlas dan jujur. Reset demi agama, bangsa dan negara," katanya melalui hataran di Facebook, pada Rabu.

Iklan

Jumaat lalu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang, dipecat keahlian daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas diputuskan Lembaga Disiplin mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan parti.

Selain itu turut dipecat antaranya tiga Ahli Parlimen Bersatu iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).

Iklan

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat ialah Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban).

Rentetan itu pada Sabtu, Hamzah menghadiri program Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik yang turut dihadiri 19 Ahli Parlimen daripada Bersatu.

Dalam pada itu beliau menegaskan, Reset bukan sekadar slogan atau manifestasi sokongan kepada individu tertentu, sebaliknya menuntut keberanian, kejujuran dan kesungguhan untuk melakukan perubahan.

"Reset bukan sekadar menoleh ke belakang dengan penyesalan, tetapi melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan," ujarnya.

Hamzah turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang terlibat khususnya pemimpin dan bekas pemimpin Bersatu yang turut hadir ke program berkenaan.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada penganjur, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta rakan Ahli Parlimen yang sudi menjemput saya sebagai Ketua Pembangkang.

"Ramai rakan-rakan dari seluruh negara hadir dalam majlis tersebut, termasuk sahabat dari luar parti politik (NGO). Ia membuktikan bahawa nilai perjuangan ini tidak akan dapat dihalang oleh mana-mana pihak," katanya.