Jawatankuasa Srikandi Bukit Gelugor Bersatu juga dibubarkan

Iklan
Nor Azah (duduk, tengah) bersama barisan Jawatankuasa Srikandi Bahagian Bukit Gelugor Bersatu.

GEORGE TOWN - Jawatankuasa Srikandi Bahagian Bukit Gelugor, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan pembubaran keseluruhan kepimpinan bahagian itu serta keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Srikandi bahagian berkenaan, Nor Azah Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti pimpinan dan ahli yang menyuarakan hilang kepercayaan terhadap hala tuju serta kepimpinan parti ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkembangan mutakhir parti, termasuk beberapa tindakan disiplin dan pemecatan pimpinan, turut menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.

“Sehubungan itu, barisan Jawatankuasa Srikandi Bahagian Bukit Gelugor secara sebulat suara memutuskan untuk membubarkan jawatankuasa bahagian, meletakkan semua jawatan dalam parti serta keluar daripada keanggotaan parti berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, keputusan tersebut tidak dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas melalui perbincangan dan penelitian mendalam bagi memastikan perjuangan serta kebajikan ahli terus terpelihara.

“Kami merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti atas peluang dan ruang yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan, namun pendirian kami bahawa wadah perjuangan sedia ada tidak lagi selari dengan aspirasi serta semangat perjuangan di peringkat bahagian,” ujarnya.

Iklan

Nor Azah, yang juga Naib Ketua Srikandi Bersatu Pulau Pinang berkata, fokus utama mereka selepas ini adalah memastikan kesinambungan khidmat kepada komuniti setempat terus berjalan.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, khususnya wanita dan rakyat di Bukit Gelugor melalui pendekatan serta platform yang akan dimaklumkan pada masa yang sesuai.