SKMM sahkan berita palsu berhubung Covid-19 di Terengganu

Iklan
SKMM

SHAH ALAM - Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengesahkan tiga berita yang sedang tular di media sosial membabitkan wabak koronavirus (Covid-19) di Terengganu adalah maklumat palsu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan pihaknya meminta sesiapa yang telah mengunjungi tujuh lokasi di sekitar kawasan Marang dan Kuala Terengganu pada 26 hingga 29 Mac lalu supaya pergi ke hospital atau klinik berdekatan untuk melakukan ujian saringan koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

"Ketua Polis Daerah Marang turut menafikan dakwaan bahawa pasukan khasnya yang membantu mengiringi petugas Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar pesakit suspek Covid-19 pulang ke rumah.

"Selain itu, Ketua Polis Daerah Marang juga menafikan dakwaan pernah melarang orang ramai ke pasar raya sekitar Marang kerana kononnya pesakit tersebut keluar mengunjungi pasar raya tersebut," kata kenyataan itu semalam.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu juga, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) turut menafikan dakwaan beberapa kawasan zon merah Covid-19 di Terengganu, malah jabatan itu tidak pernah mengeluarkan senarai zon merah Covid-19.