BOGOR - Seorang pemandu teksi mempamerkan tahap kejujuran tinggi apabila memulangkan wang tunai berjumlah 180 juta rupiah (kira-kira RM41,788) milik penumpang yang tertinggal dalam kenderaannya di Parung Panjang, Indonesia.
Pemandu itu, Aditya Adandi Nasution, bertindak segera selepas menyedari terdapat sebuah beg berisi wang tunai ditinggalkan di tempat duduk belakang teksi dipandunya.
Wang berkenaan dipercayai milik seorang usahawan, Martin ML Pasaribu, yang menggunakan perkhidmatan teksinya.
Menurut Martin, wang tunai tersebut sepatutnya digunakan untuk membayar gaji pekerja syarikatnya di Parung Panjang.
Beliau hanya menyedari beg berisi wang itu tertinggal selepas tiba di destinasi dan berasa amat cemas memandangkan wang tersebut penting untuk operasi syarikat.
"Sepanjang menggunakan perkhidmatan teksi, ini kejadian pertama kali saya tertinggal wang dalam jumlah besar.
"Jadi, saya panik kerana wang berkenaan diperlukan segera bagi urusan pembayaran gaji pekerja," katanya menerusi laporan portal Kelumajang.com.
Bagaimanapun, kebimbangan tersebut berakhir apabila Aditya menghubunginya dan memaklumkan mengenai penemuan beg berisi wang tunai itu.
Aditya kemudian mengambil inisiatif untuk menghantar sendiri wang berkenaan ke pejabat syarikat milik Martin sebagai tanda tanggungjawab terhadap penumpang.
Tindakan jujur pemandu teksi itu membuatkan Martin berasa terharu dan bersyukur kerana wang syarikatnya berjaya dikembalikan tanpa sebarang kekurangan.
Sebagai tanda penghargaan, Martin cuba memberikan wang kepada Aditya, namun pemandu berkenaan menolaknya dengan baik.
Aditya menjelaskan bahawa memulangkan barangan penumpang yang tertinggal merupakan tanggungjawabnya sebagai pemandu.