Dakwaan Migrant Care tidak bertanggungjawab: Hishammuddin

Iklan
Hishammuddin -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Luar menafikan dakwaan Migrant Care (Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat) bahawa Malaysia mengusir rakyat negara itu secara besar-besaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kenyataan tersebut tidak benar dan tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dakwaan tersebut bukan sahaja disangkal oleh Malaysia, malah turut dinafikan pihak berkepentingan Indonesia sendiri.

"Menteri Luar Indonesia, Ibu Retno Marsudi sebelum ini menyatakan memang akan ada sekumpulan rakyat Indonesia pulang, tetapi beliau tidak menyebut kerana pengusiran.

Iklan

"Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah menegaskan rakyat Indonesia pulang bukan kerana diusir, sebaliknya dihantar pulang kerana masuk ke Malaysia tanpa izin sebelum krisis Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Hishammuddin berkata, Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur turut menafikan berlakunya pengusiran tersebut.

Iklan

"Koordinator Fungsi Pensosbud Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru, Anang Fauzi Firdaus turut mengakui rakyat Indonesia pulang atas beberapa sebab iaitu tamat tempoh kebenaran menetap dan tiada kerja sepanjang tempoh PKP di Malaysia.

"Sesungguhnya, hubungan saya dengan rakan sejawat, Ibu Retno Marsudi cukup baik. Malah, Wisma Putra dan Kementerian Luar Indonesia sentiasa berhubung bagi membincangkan kepentingan rakyat negara masing-masing yang menetap di Malaysia dan Indonesia," katanya.

Justeru, Hishammuddin menasihati semua pihak agar menyemak terlebih dahulu kesahihan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Jangan sewenang-wenangnya membuat dakwaan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan hubungan serumpun Malaysia dan Indonesia," katanya.