Pelajar maut, motosikal dirempuh kereta terbabas

Iklan
Seorang pelajar maut dan rakannya cedera selepas motosikal mereka dilanggar kereta di Rompin. Foto PDRM

ROMPIN - Seorang pelajar maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki dipercayai dirempuh sebuah kereta yang terbabas memasuki laluan bertentangan di Kilometer 124 Jalan Kuantan-Johor Bahru di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 2.05 pagi itu, penunggang, Muhammad Danish Irfan Abdullah, 16, beralamat di Kampung Bahagia, Mersing, Johor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembonceng, Wan Muhammad Isyraff Farish Wan Mohd Norsafry, 15, dilaporkan cedera di bahagian kaki.

“Dalam nahas itu, pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Waja berusia 32 dan 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Iklan

Keadaan di lokasi kemalangan maut meragut satu nyawa di Kilometer 124 J byalan Kuantan- Johor Bahru di sini pada Sabtu. Foto PDRM

Sharif Shai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu lelaki Orang Asli yang bekerja sebagai pekebun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Johor Bahru, manakala motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki dua pelajar itu dari arah bertentangan.

Iklan

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.

“Akibat kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.

“Pembonceng yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.