Pimpinan Bersatu Perak paling ramai dipecat

Iklan
Zainol Fadzi (kiri), Ahmad

IPOH - Sekurang-kurangnya lapan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Perak menerima surat pemecatan daripada parti berkenaan sehingga jam 6 petang pada Jumaat.

Daripada 17 pemimpin yang disenarai telah dipecat itu menyaksikan pimpinan dari Perak paling ramai setakat ini dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Bersatu.

Iklan
Iklan

Empat wakil rakyat terdiri daripada tiga Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antara yang menerima surat pemecatan tersebut bersama empat lagi ketua Bersatu bahagian.

Mereka ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan dan ADUN Sungai Manik, merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Iklan

Bagi pimpinan bahagian pula, mereka yang dipecat termasuklah, Ketua Bersatu Teluk Intan, Kamaruddin Majid; Ketua Bahagian Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak; Ketua Bersatu Bahagian Larut, Mohd Hassundi Hamzah dan Ketua Bersatu Bahagian Tapah, Mhod Yunus Mhd Yusop.

Sementara itu Zainol Fadzi yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai pemecatan beliau bersama pimpinan Bersatu dari Perak yang lain.

Iklan

Menurutnya, berdasarkan penjelasan di dalam surat yang dihantar pada Jumaat memaklumkan alasan pemecatan keahlian tersebut kerana tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembangaan Bersatu.

Beliau turut mengakui kesemua pemimpin Bersatu dari Perak itu tidak menghadiri sesi pendengaran ditetapkan Lembaga Disiplin parti.

"Kami semua dari Perak tidak hadir panggilan Lembaga Disiplin semalam kerana kita dah jangka keputusan telah ada.

"Lembaga Displin buat syarat sahaja," katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak," katanya.

Terdahulu media melaporkan selain lapan pemimpin dari Perak terdapat enam lagi yang turut dipecat termasuklah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin.