Kedah kubu awal, potensi besar PKR perkukuh pengaruh – Anwar

Iklan
Anwar (depan, tengah) menghadiri Konvensyen Keadilan Kedah di Alor Setar pada Jumaat.

ALOR SETAR – Kedah merupakan antara kubu awal yang memperlihatkan potensi besar bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kembali memperkukuh pengaruhnya, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, negeri itu pernah menjadi antara kawasan penting yang menyumbang kepada perkembangan awal parti dan kejayaan menawan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, momentum tersebut perlu dipertahankan dengan memperkukuh jentera parti, khususnya di peringkat cabang.

“Kedah ialah negeri yang telah menunjukkan keupayaan dan potensi yang baik. Kawasan negeri dan Parlimen yang pernah kita tawan dengan jayanya perlu dipertahankan, terutamanya di selatan Kedah,” katanya.

Iklan

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Kedah di sini pada Jumaat.

Anwar mengingatkan bahawa perjuangan reformasi yang dibawa PKR bukan sesuatu yang mudah dan menuntut pengorbanan besar.

Iklan

Menurutnya, tiada yang sempurna dalam setiap perkara yang diusahakan dan ahli diingatkan agar bersyukur dengan pencapaian hari ini.

“Kita melalui pelbagai cabaran, tekanan dan kesukaran sebelum berada pada tahap hari ini. Jadi apabila sudah diberi peluang mentadbir, buatlah kerja sebaiknya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ahli lama turut diberi perhatian menerusi bimbingan kepimpinan khas bagi memastikan pengalaman mereka dapat dimanfaatkan dalam memperkukuh struktur parti.