KOTA BHARU - [KEMAS KINI] Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dipecat berkuatkuasa pada Jumaat.
Pemecatan bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dibuat dalam parti kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal digantung selama satu penggal pada Oktober lalu.
"Alhamdulillah saya juga telah ‘selamat’ dipecat oleh Parti Bersatu.
"Insya-ALLAH saya akan terus istiqamah bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam berperanan sebagai Ahli Dewan Rakyat," katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Dalam satu notis dikeluarkan Lembaga Disiplin parti itu, bekas Ketua Armada Bersatu itu dipecat keahliannya dalam parti kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Notis pemecatan serta-merta bertarikh pada Jumaat dikeluarkan dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.
Media pada Jumaat melaporkan Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurut notis yang dikeluarkan oleh Mohd Radzi, pemecatan Hamzah dibuat kerana tindakannya yang melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
"Adalah dimaklumkan bahawa pihak Lembaga Disiplin telah bersidang pada 12 Februari 2026 dan telah memutuskan bahawa Datuk Seri dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan kerana tindakan Datuk Seri melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU.
"Sila ambil perhatian bahawa notis ini berkuat kuasa serta-merta. Walaubagaimanapun pihak Datuk Seri boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini," menurut notis itu.