Keputusan Mahkamah Persekutuan boleh memihak mana-mana pihak dalam pertikaian gas

Iklan

PETALING JAYA – Cadangan bahawa Mahkamah Persekutuan akan memihak kepada Petronas dalam pertikaian perundangannya dengan Sarawak adalah tidak tepat dan berisiko menjejaskan keyakinan terhadap institusi kehakiman negara, kata penganalisis.

Mereka menegaskan proses mahkamah tidak menjamin kemenangan kepada mana-mana pihak, selain menolak tanggapan bahawa badan kehakiman akan cenderung memihak kepada syarikat minyak nasional itu atau kerajaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Naib Presiden Bersekutu The Asia Group, Asrul Sani berkata, mahkamah di Malaysia tidak wajar digambarkan sebagai lanjutan kepentingan persekutuan atau korporat.

“Mahkamah di Malaysia adalah bebas secara institusi dan tiada keputusan yang terjamin,” katanya.

Iklan

Pada Januari, Petronas memohon mendapatkan penjelasan daripada Mahkamah Persekutuan berhubung bagaimana undang-undang Persekutuan, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, berinteraksi dengan perundangan negeri Sarawak seperti Ordinan Pengagihan Gas 2016.

Langkah itu dibuat selepas rundingan dengan Petroleum Sarawak (Petros) menemui jalan buntu.

Iklan

Susulan tindakan tersebut, timbul naratif awam yang mencadangkan laluan mahkamah mungkin dilihat memihak kepada Petronas atau kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Abdullah Saidol misalnya menyatakan wujud “kecurigaan politik” dalam kalangan pihak tertentu kerana “individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mahkamah mempunyai pengaruh besar, termasuk hubungan dengan Petronas”.

Penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani bagaimanapun menegaskan, menggambarkan proses mahkamah sebagai bebas risiko atau secara semula jadi memihak kepada Petronas adalah tafsiran yang tidak tepat terhadap kes tersebut.

“Tidak, ia bukan bebas risiko untuk Petronas,” katanya sambil menjelaskan kes itu pada asasnya melibatkan tafsiran perlembagaan dan statut, bukannya penghakiman terhadap dasar yang digemari Petronas.

“Mahkamah diminta menjelaskan bagaimana perundangan Persekutuan, khususnya Akta Pembangunan Petroleum 1974, berinteraksi dengan undang-undang negeri Sarawak, bukan untuk menimbang tara pertikaian komersial yang memihak kepada Petronas,” katanya.

Menurut Jamil, walaupun Mahkamah Persekutuan membenarkan Petronas meneruskan permohonan dan memutuskan memihak kepadanya dalam beberapa isu perundangan, keputusan itu tidak akan secara automatik menyelesaikan ketegangan politik, kawal selia atau komersial yang lebih luas.

Beliau berkata, kegagalan rundingan sebelum Petronas membawa perkara itu ke mahkamah menunjukkan pertikaian berkenaan melangkaui tafsiran undang-undang kepada persoalan autonomi, kuasa dan jangkaan awam di Sarawak.

Asrul turut mengingatkan proses di Mahkamah Persekutuan berisiko mengeraskan pendirian, mengukuhkan naratif autonomi di Sarawak serta menegangkan hubungan dalam cara yang sukar dipulihkan.

“Walaupun undang-undang diperjelaskan, ia tidak semestinya diterjemahkan kepada penerimaan politik atau pelaksanaan yang lancar di lapangan,” katanya.

Jamil pula berkata, Petronas mungkin masih berdepan tentangan politik dan tafsiran berbeza di lapangan tanpa mengira keputusan mahkamah.

“Kebergantungan kepada keputusan mahkamah yang memihak semata-mata tidak melindungi Petronas daripada sensitiviti politik berterusan atau perebutan kuasa kawal selia di Sarawak,” katanya.

Strategi politik dikira

Sementara itu, penganalisis berpendapat retorik awam yang lebih tajam daripada beberapa ahli politik Sarawak susulan tindakan Petronas membawa kes ke mahkamah mencerminkan strategi politik yang dirancang, bukannya perpecahan dalam kepimpinan.

Asrul berkata, langkah itu perlu dilihat sebagai pendekatan “pecah dan perintah” dengan pemimpin berbeza memainkan peranan masing-masing.

Menurutnya, walaupun Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa agar proses mahkamah dihormati, beberapa ahli politik lain mengambil pendirian lebih konfrontasi di ruang awam.

“Pendekatan terukur Premier Abang Johari direka untuk mengekalkan kredibiliti institusi, keyakinan pelabur serta saluran kerja yang berfungsi dengan Putrajaya.

“Dengan mengekalkan pertikaian dalam kerangka teknokratik dan perundangan, beliau dapat mengehadkan ketidaktentuan pasaran dan mengelakkan pertembungan politik lebih awal,” katanya.

Sebaliknya, retorik lebih keras daripada pemimpin lain dilihat lebih tertumpu kepada khalayak politik domestik.

“Dengan pilihan raya negeri yang semakin hampir dan kemungkinan pilihan raya Persekutuan mengejut, pendekatan konfrontasi bertujuan membingkaikan isu ini sebagai soal hak negeri, sekali gus menggerakkan sentimen pengundi tanpa menutup ruang rundingan di peringkat eksekutif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pemimpin Sarawak menekankan keutamaan untuk meneruskan rundingan berbanding mendapatkan panduan kehakiman.

Asrul berkata, mengekalkan isu itu di luar mahkamah memberi Sarawak lebih ruang untuk bermanuver.

“Rundingan membolehkan Sarawak membentuk hasil berkaitan pelesenan, harga dan terma peralihan, khususnya dengan memanfaatkan rundingan berpanjangan untuk memaksimumkan pengaruh politik menjelang pilihan raya Persekutuan akan datang, ketika ia memposisikan diri sebagai penentu,” katanya.

Jamil berkata, pendekatan itu juga boleh membantu mengelakkan keputusan kehakiman yang bersifat menang atau kalah sepenuhnya, namun memberi amaran bahawa kebergantungan kepada rundingan semata-mata berisiko memanjangkan ketidaktentuan.

“Rundingan sebelum ini gagal menyelesaikan persoalan teras berkaitan kuasa kawal selia dan hierarki perundangan, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan berpanjangan kepada pelabur serta perancangan projek,” katanya.

Beliau berkata, dalam situasi itu Sarawak mungkin memperoleh ruang politik jangka pendek, namun berisiko kehilangan kepastian kawal selia jangka panjang yang penting bagi mengekalkan pelaburan dan pembangunan industri.

Jamil menambah, keputusan Petronas untuk mendapatkan penjelasan kehakiman mencerminkan had rundingan, bukannya penolakan terhadap proses tersebut.

“Memandangkan hanya Mahkamah Persekutuan boleh menyelesaikan secara muktamad persoalan bidang kuasa Persekutuan-negeri, langkah Petronas mendapatkan penjelasan kehakiman adalah wajar.

“Konflik berkaitan skop kuasa Persekutuan dan negeri melibatkan persoalan hierarki perlembagaan, justeru Mahkamah Persekutuan merupakan forum yang tepat untuk menentukannya,” katanya.