Nik Rizal Kamil dilantik CEO, MD baharu Axiata berkuat kuasa 1 Jun 2026

Iklan
Nik Rizal Kamil

SHAH ALAM - Axiata Group Bhd mengumumkan pelantikan Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) dan Pengarah Urusan, berkuat kuasa 1 Jun 2026.

Menurut Axiata, pelantikan tersebut bagi menggantikan Vivek Sood yang memimpin syarikat sejak 2023.

Iklan
Iklan

Pelantikan tersebut juga merupakan sebahagian daripada strategi perancangan penggantian jangka panjang Axiata dan mengukuhkan komitmen kumpulan terhadap kesinambungan kepimpinan serta pembangunan bakat dalaman yang kukuh.

Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Nik Rizal telah memainkan peranan penting dalam membentuk strategi Axiata, memperkukuh disiplin kewangan serta menyokong pelaksanaan keutamaan jangka panjang syarikat.

Iklan

"Memandangkan pengalamannya bersama Axiata, industri dan pihak berkepentingan kami, Lembaga Pengarah yakin bahawa pelantikan beliau akan meletakkan Axiata pada kedudukan yang baik untuk prestasi berterusan dan penciptaan nilai jangka panjang.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Vivek atas sumbangan beliau kepada Kumpulan dan khususnya pelaksanaan strategi kami yang berkesan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang telah membawa kepada peningkatan ketara terhadap prospek dan penciptaan nilai kami," katanya.

Iklan

Nik Rizal, yang menyertai Axiata pada Januari 2024 sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, membawa pengalaman luas dan kepakaran mendalam merangkumi kewangan perniagaan, pelaburan dan perakaunan.

Selain peranannya sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Axiata, Nik Rizal kini berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat Kumpulan Axiata, iaitu CelcomDigi Berhad, PT XLSMART Telecom Sejahtera Tbk, Robi Axiata PLC, EDOTCO Group Sdn Bhd dan PT Link Net Tbk.

Sebelum menyertai Axiata, Nik Rizal berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan RHB Bank bermula Februari 2021.

Sebelum di RHB, beliau merupakan Pengarah Eksekutif, Pelaburan di Khazanah Nasional Bhd, di mana beliau mengetuai inisiatif pelaburan dan pelupusan utama, program penciptaan nilai serta strategi ekuiti persendirian merentas pasaran domestik dan antarabangsa dalam sektor telekomunikasi, media dan teknologi (TMT).

Dalam tempoh tersebut, Nik Rizal juga pernah memegang jawatan ahli lembaga pengarah di Telekom Malaysia dan Astro Malaysia Holdings Bhd serta menyumbang kepada pengawasan strategik dalam landskap korporat Malaysia.

Sebelum Khazanah, Nik Rizal telah menghabiskan hampir satu dekad bersama kumpulan syarikat Royal Dutch Shell dalam sektor huluan dan hiliran di Malaysia, Singapura dan United Kingdom.

Nik Rizal memiliki Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Kewangan dari London Business School dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol, United Kingdom.

Beliau juga merupakan Felo Akauntan Bertauliah (FCA) dan Profesional Kewangan Perniagaan (BFP) dengan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) serta ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Sementara itu, Vivek berkata, beliau berbesar hati menyokong pelantikan Nik oleh Lembaga Pengarah.

"Sepanjang bekerja rapat dengan beliau dalam peranannya sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, saya telah menyaksikan sendiri kefahaman mendalam beliau terhadap perniagaan kami, pendekatan pelaksanaan yang berdisiplin serta komitmen yang tinggi kepada pihak berkepentingan.

"Dalam tempoh setahun akan datang, saya menantikan kerjasama rapat dengan Nik bagi memastikan peralihan kepimpinan yang lancar dan berkesan," katanya.